Kritikan terhadap 'Deklarasi Rakyat' tanda tidak senang hati pemimpin UMNO - Muhyiddin

Astro Awani
Mac 8, 2016 18:06 MYT
Muhyiddin menempis dakwaan bahawa seorang Perdana Menteri tidak boleh dijatuhkan kecuali menerusi pilihan raya. - Gambar fail
Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemimpin UMNO yang mengkritik tindakannya menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani 'Deklarasi Rakyat' sebagai iri hati.
Katanya, kritikan yang datang itu bukti wujud perasaan tidak senang hati dengan kejayaan Dr Mahathir menghimpunkan tokoh-tokoh Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Pas dan masyarakat sivil untuk duduk bersama mendesak pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Mereka nampaknya tidak senang dengan kejayaan Dr Mahathir menghimpunkan tokoh-tokoh BN, Pakatan Harapan, Pas dan masyarakat sivil untuk duduk bersama mendesak Perdana Menteri supaya berundur.
'Deklarasi Rakyat' bukan agenda mana-mana parti politik. Ia terbit daripada kesedaran individu daripada pelbagai latar belakang sosial dan politik.
Hakikatnya 'Deklarasi Rakyat' adalah perjuangan rakyat yang merentasi ideologi politik, kaum dan agama untuk menentang kemungkaran, menyelamatkan Malaysia dan menebus kembali maruah negara," katanya dalam catatan di akaun Facebook rasminya hari ini.
Muhyiddin turut mengkritik tindakan pihak yang sengaja menimbulkan spekulasi bahawa kehadiran Penasihat DAP, Lim Kit Siang adalah agenda untuk menghancurkan UMNO seterusnya melabel Dr Mahathir sebagai pengkhianat perjuangan.
'Deklarasi Rakyat' atau 'Citizen's Declaration' ditandatangani pada 4 Mac lalu dan bertindak bukan semata-mata untuk menuntut penyingkiran Najib malah bertujuan bagi melihat reformasi dilaksanakan secara menyeluruh dalam sistem Perlembagaan negara.
Sementara itu, Muhyiddin turut menempis dakwaan bahawa seorang Perdana Menteri tidak boleh dijatuhkan kecuali menerusi pilihan raya.
"Di sinilah letaknya kesilapan besar mereka. Jika sebahagian besar rakyat menolak kepimpinan Najib, maka sewajarnyalah Najib berundur sekarang. Jangan tunggu sampai pilihanraya. Jika rakyat menolak Najib dalam pilihanraya bermakna mereka akan menolak BN secara total. Ini akan menyebabkan BN kalah dalam pilihanraya."
Mengulas mengenai tuduhan beberapa pihak mengenai kesetiaan terhadap UMNO, Muhyiddin berkata adalah menjadi tanggungjawabnya menentang kemungkaran yang wujud demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
"Selama 40 tahun saya di dalam politik, tidak pernah sedetikpun saya bertindak untuk menggadai prinsip perjuangan saya.
"Saya yakin rakyat, terutamanya orang Melayu, cukup bijak untuk menilai mana yang hak dan mana yang batil."
Majlis menandatangani 'Deklarasi Rakyat' turut dihadiri lebih 58 tokoh-tokoh seperti Tun Ling Liong Sik, Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Aziz Yassin, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Mustafa Ali, Datuk Dr Khairuddin Al-Takiri, Datuk Kadir Jasin, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan ramai lagi.
#BN #Muhyiddin Yassin sifatkan pemimpin yang mengkritik tindakannya menyertai Dr Mahathir Mohamad dalam Deklarasi Rakyat sebagai iri hati #Pakatan Harapan #PAS
;