Krisis politik Terengganu: 'Jangan buat sebarang spekulasi' - Khairy
Rahimah Abdullah
April 26, 2016 17:54 MYT
April 26, 2016 17:54 MYT
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemelut politik di Terengganu termasuk isu perlucutan darjah kebesaran negeri Menteri Besarnya, Abdul Razif Abdul Rahman.
Semua pihak sebaliknya diingatkan menunggu hasil tindakan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam masa terdekat.
"Saya harap kita jangan keluarkan sebarang spekulasi berkenaan isu itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan untuk menghadap Sultan Terengganu dalam masa yang terdekat. Saya rasa lebih baik kita tunggu hasil daripada pertemuan tersebut, selepas itu barulah kita nampak gambaran yang lebih jelas berkenaan isu berkenaan," katanya dalam sidang media majlis Pra-Pelancaran Hari Belia Negara 2016 di Kementerian Belia dan Sukan di sini hari ini.
Ditanya adakah perlu BN perlu bimbang dengan krisis itu, ini jawapan beliau:
"Saya rasa kita tidak perlu tambah atau komen buat masa ini. Tunggu Perdana Menteri mengadap ke bawah duli Tuanku dahulu," jelas Menteri Belia dan Sukan itu.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif berkuat kuasa Jumaat, 22 April.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu kepada Bernama pada Isnin.
Kenyataan itu berbunyi: "Setelah berunding dengan Dewan Pangkuan Diraja Negeri Terengganu, adalah dimaklumkan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah melucutkan semua Darjah-darjah Kebesaran Negeri Terengganu yang telah dikurniakan kepada Ahmad Razif bin Abd Rahman berkuat kuasa mulai 22 April, 2016.
#Abdul Razif Abdul Rahman
#Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemelut politik di Terengganu termasuk isu perlucutan kebesaran negeri Menteri Besarnya
#Najib Razak
#Sultan Mizan Zainal Abidin