Krisis politik Perak bukan isu nasional - Annuar
Fauzi Suhaimi
Disember 5, 2020 13:14 MYT
Disember 5, 2020 13:14 MYT
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kemelut politik Perak yang melibatkan jawatan Menteri Besar bukanlah masalah nasional, sebaliknya hanya melibatkan keadaan politik di negeri Perak.
Tegas Annuar, krisis yang berlaku semalam tidak pernah dibincangkan secara formal dalam mesyuarat Biro Politik UMNO atau Mesyuarat Majlis Tertinggi BN dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
"Saya nyatakan apa yang berlaku di Perak adalah hanya di Perak sahaja dan saya sendiri tidak mengetahui perkara itu.
"Perkara itu juga diputuskan sendiri wakil-wakil rakyat dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
“Apabila ia terjadi, kita sedang membuat konsultasi dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang berada di Perak untuk berjumpa dengan Badan Perhubungan UMNO negeri itu bagi mendapatkan maklum balas berkenaan status terkini,” katanya di sini pada Sabtu.
Terdahulu beliau hadir merasmikan majlis Penyampaian MYFood@Wilayah.
Semalam, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti sebagai Menteri Besar apabila usul undi percaya terhadap beliau yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.
Dalam pada itu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, apa yang berlaku itu diharapkan dapat ditangani menerusi semangat Muafakat Nasional (MN) dan keluarga Perikatan Nasional (PN).
"Namun saya percaya, isu di Perak ini akan diselesaikan secara keluarga melibatkan semua ketua parti dalam PN.
"Kita harap apa yang berlaku itu dapat sama-sama ditangani dengan baik supaya keadaan tidak akan menimbulkan ketidakstabilan dan perpecahan.
"(Perkara ini) perlu diurus dengan baik dengan mengambil kira muafakat gabungan dan semangat PN," ujarnya.
Ditanya mengenai reaksi Pas yang menyatakan untuk tidak terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu, jelas Annuar, perkara itu adalah maklum balas yang biasa berlaku.
"Bukan sahaja Pas, malah Bersatu juga tidak mahu sertai pembentukan kerajaan kalau terlibat dengan DAP dan PKR. Jadi setiap parti telah beri reaksi awal masing-masing.
#Tan Sri Annuar Musa
#PKR
#PAS
#UMNO
#politik
#politik perak
#Menteri Besar
#Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
#ADUN Perak
#krisis politik Perak