Krisis MIC: RoS sahkan Palanivel bukan lagi ahli MIC - Subramaniam
Astro Awani
Jun 25, 2015 19:06 MYT
Jun 25, 2015 19:06 MYT
Pendaftar Pertubuhan (RoS) hari ini mengesahkan Datuk Seri G Palanivel bukan lagi ahli MIC dan mengisytiharkan Datuk Seri Dr S.Subramaniam sebagai pemangku presiden.
Perkara tersebut diumumkan oleh Subramaniam dalam satu kenyataan akhbar, yang turut menjelaskan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC penggal 2009 menerima berita tersebut menerusi sepucuk surat dari RoS.
“RoS dalam surat yang dialamatkan kepada CWC 2009 hari ini mengenal pasti Datuk Seri G.Palanivel bukan lagi ahli MIC mengikut Artikel 91 perlembagaan parti.
“RoS juga mengiktiraf akibat pengesahan itu Datuk Seri S.Subramaniam akan bertindak atas kapasiti pemangku presiden memimpin CWC 2009 untuk menjalankan pemilihan semula MIC seperti yang diputuskan RoS,” kata kenyataan akhbarnya.
Perbalahan antara Subramaniam dan Palanivel mengenai kepimpinan MIC bermula selepas pemilihan parti yang kontroversi pada November 2013.
Keputusan pemilihan itu dibatalkan RoS dan kemudian mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula.
Palanivel dan empat yang lain mengambil tindakan undang-undang terhadap RoS dan hari ini gagal memperoleh perintah interim terhadap keputusan mahkamah yang berpihak kepada arahan RoS supaya pemilihan semula diadakan.
Sebelum ini, Subramaniam juga mengisytiharkan Palanivel bukan lagi ahli, memetik perlembagaan MIC mengenai ahli yang mengambil tindakan undang-undang terhadap parti.
Subramaniam baru-baru ini juga mengumumkan RoS memberikan MIC tempoh lanjutan hingga Oktober untuk mengadakan pemilihan semula.