Krisis MB Selangor dijangka lebih hangat hari ini

Irwan Muhammad Zain
Ogos 6, 2014 07:30 MYT
Abdul Khalid terus menjalankan tugas biarpun diserang teruk partinya sendiri
Krisis politik di Selangor yang melibatkan usaha PKR mahu menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari kerusi menteri besar dijangka lebih hangat hari ini.
DAP yang selama ini lebih banyak berdiam diri, kecuali satu dua kenyataan dari Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua, dijangka akan menyatakan pendirian berhubung isu ini.
Semalam, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasruddin Hassan yang membangkitkan isu projek terowong RM4.63 bilion di Pulau Pinang, yang dikatakan diberi secara rundingan terus.
Kenyataan itu dijawab pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyifatkan serangan tersebut keterlaluan.
Guan Eng dijangka akan menjawab tuduhan yang disifatkan tanpa asas itu dalam satu sidang media yang dijadualkan pada 12 tengah hari di Pejabat Ketua Menteri, Tingkat 28, Komtar, Pulau Pinang, hari ini.
Nasruddin membangkitkan bagaimana Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim “dibantai teruk” dalam isu Lebuh Raya Kidex sedangkan projek terowong bawah dasar laut itu tidak pula disentuh.
Selain isu kenyataan Nasrudin, krisis Menteri Besar Selangor ini juga dikejutkan dengan sidang media Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor yang mana terdapat dua kenyataan media dikeluarkan.
Satu kenyataan menyokong Wan Azizah, manakala satu lagi kenyataan pula meminta supaya Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali turut dinamakan sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.
Semalam juga, Ketua Setiausaha Sulit kepada Abdul Khalid membuat laporan kepada SPRM terhadap dakwaan perlakuan rasuah yang dilakukan oleh beberapa pemimpin PKR.
Dalam keadaan diserang teruk oleh partinya sendiri dan beberapa pemimpin lain dalam Pakatan Rakyat, Abdul Khalid meneruskan khidmatnya dan semalam membuat lawatan mengejut ke lokasi wabak denggi di Pandamaran, Klang.
Hari ini, dalam mengumpul kekuatan dalam menempuh dugaan mengalas tugas sebagai Menteri Besar Selangor, jawatan yang menjadi rebutan, Abdul Khalid dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Selangor menganjurkan solat hajat perdana untuk mempertahankan kerajaan Selangor.
Krisis politik di Selangor ini bermula selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lepas apabila Abdul Khalid dikatakan tidak melaksanakan tugas seperti yang dikehendaki partinya, PKR.
Apa yang kita tahu mengenai krisis politik Selangor setakat ini:
1. Abdul Khalid dikatakan membuat keputusan tanpa merujuk pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat.
2. PKR menerusi mesyuarat Biro Politiknya pada Januari lalu memutuskan Abdul Khalid perlu diganti.
3. PKR menyusun startegi yang dinamakan "Langkah Kajang" untuk menggantikan Abdul Khalid.
4. Menerusi 'Langkah Kajang', ADUN Kajang, Lee Chin Cheh meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.
5. Anwar bagaimanapun tidak dapat bertanding kerana Mahkamah Rayuan memutuskan beliau bersalah meliwat pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lepas.
6. Tempat Anwar digantikan oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
7. Selepas Pilihan Raya Kecil DUN Kajang, Abdul Khalid tetap tidak melepaskan jawatannya.
8. PKR terus mendesak Abdul Khalid melepaskan jawatan dan Anwar menamakan Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.
9. Abdul Khalid bagaimanapun menegaskan beliau akan terus memegang jawatan itu hingga tamat penggal ini.
10. PAS Selangor bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
11. Pendirian PAS Selangor mendapat sokongan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
12. PKR menyifatkan PAS tidak menghormati hak mereka dalam memilih menteri besar di Selangor.
13. Pemimpin PAS dan PKR saling membuat tuduhan di laman Facebook.
14. Perbincangan dalaman kumpulan Whatsapp AJK PAS Pusat yang memuatkan analisis kemungkinan pari itu keluar dari Pakatan Rakyat.
15. PKR dan DAP mendesak PAS mengambil tindakan terhadap AJKnya Dr Mohd Zuhdi Marzuki akibat analisisnya yang memuatkan kenyataan dikatakan bersifat perkauman.
16. Desakan supaya Abdul Khalid melepaskan jawatan terus dibuat PKR, namun ADUN Pelabuhan Klang itu tetap berdegil.
17. PKR menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media menjelaskan Abdul Khalid terlibat dalam kes salah laku.
18. Abdul Khalid dalam kenyataan balasnya mencabar PKR melaporkan perkara berkenaan kepada Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
19. PKR memberikan laporan setebal 24 halaman yang memuatkan enam sebab kenapa Abdul Khalid perlu meletak jawatan, antaranya kes hutang Abdul Khalid dengan Bank Islam berjumlah RM59.5 juta dan perjanjian penstrukturan air antara kerajaan pusat dan kerajaan Selangor.
20. PKR juga memberikan Abdul Khalid surat tunjuk sebab kerana dikatakan telah melanggar arahan parti.
21. Abdul Khalid bagaimanapun menjawab surat itu dan mendakwa surat tersebut tidak lengkap.
#DAP #MB Selangor #PAS #PKR
;