Krisis MB S'gor: Istana akan beri maklum balas dalam masa terdekat

Harits Asyraf Hasnan
September 3, 2014 07:04 MYT
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan memberi maklum balas berkenaan cadangan Menteri Besar Selangor yang baharu dalam masa terdekat.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Rabu mengesahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS telah menghantar nama calon Menteri Besar yang baharu kepada pihak Istana untuk dipertimbangkan sebagai pengganti menteri besar.
Menurutnya, keputusan berhubung pelantikan berkenaan bergantung kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Dan pihak istana akan memberi maklum balas terhadap cadangan yang diberikan. Sehingga proses selesai pentadbiran kerajaan negeri akan berjalan seperti biasa di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang sedia ada.
“Saya menyeru semua pihak bersabar dan membenarkan proses dijalankan mengikut Tatacara Undang-undang Tubuh Negeri serta Adat Istiadat Negeri Selangor,” kata Khalid pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan SUK Selangor di Shah Alam, pada Rabu.
Menurutnya, pihak istana tidak memaklumkan mengenai tempoh masa bagi membuat keputusan berhubung pemilihan calon Menteri Besar yang baru.
Bagaimanapun, beliau percaya, pihak istana akan memberi maklum balas mengenai perkara itu secepat mungkin.
Pada sidang media sama, Khalid menegaskanbeliau tidak berminat untuk mengetahui senarai calon-calon bagi mengantikan beliau.
Malah beliau tidak akan mencampuri urusan pemilihan Menteri Besar baharu.
“Lebih baik saya hanya diberitahu tentang keputusan yang dibuat. Saya tak tahu dan saya tidak berminat untuk mengetahui senarai calon yang dikemukakan oleh tiga parti berkenaan,” ujarnya.
Mengenai cadangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Selangor supaya diadakan pilihan raya negeri, Menteri Besar itu berkata perkara itu terpulang kepada budi bicara Sultan Selangor.
Katanya beliau tidak boleh membuat sebarang kenyataan kerana bimbang ia akan menimbulkan spekulasi.
#Khalid Ibrahim #Menteri Besar #PKR #Sultan Sharafuddin Idris Shah