Krisis MB Kedah: Ini isu dalaman, biar pucuk pimpinan parti selesaikan - Shahidan
Bernama
Januari 30, 2016 18:44 MYT
Januari 30, 2016 18:44 MYT
Ahli-ahli UMNO khususnya kepimpinan negeri Kedah wajar menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi dan presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menyelesaikan kemelut Menteri Besar Kedah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata: 'Mohd Najib sudah menghadap pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah. Jadi, kita tunggulah perkembangannya.'
Katanya, kemelut itu yang berpunca dari kepimpinan UMNO Kedah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Besar dan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri adalah isu dalaman parti.
"Kita boleh mengharapkan isu ini diselesaikan sebaiknya secara bijak. Kalau ada kekurangan, kena perbaiki dan diperbetulkan... jangan salahkan orang lain. Kita sewajarnya rela apabila ditegur.
"Kalau rakyat menghukum kita (pemimpin), tuduh dan sebagainya, jangan salahkan rakyat tapi salahkan diri sendiri kerana kita tidak turun bagi penjelasan," katanya.
Shahidan ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 489 orang masyarakat Tionghua dalam kawasan Parlimen Arau sempena Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan anggota dewan undangan Negeri Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob.
#ahli UMNO
#isu dalaman parti
#kemelut Menteri Besar Kedah
#kepimpinan negeri Kedah
#Mukhriz
#shahidan