Krisis Kedah perlu diselesaikan secara rasional - Hishammuddin
Astro Awani
Januari 23, 2016 17:21 MYT
Januari 23, 2016 17:21 MYT
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyeru agar krisis dalaman UMNO Kedah diselesaikan secara rasional dan penuh semangat kekeluargaan.
Menurut Hishammuddin, langkah itu penting agar rakyat tidak keliru sekali gus menjamin kelangsungan Barisan Nasional di negeri itu.
"Kalau ia ditangani dengan baik, saya percaya bahawa kesannya tidak membawa kepada satu keadaan yang teruk," kata Hishammuddin semasa ditemui media selepas pelancaran Projek Jiwa Murni di Felda Kahang Timur, di sini hari ini.
Beliau juga yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menyelesaikan isu ini secara bijaksana dengan mengambil pertimbangan akar umbi di Kedah.
"Krisis kepimpinan di kedah bukan satu perkara yang baru.
"Di peringkat negeri-negeri lain, kita sudah melalui macam-macam," ujar Hishammuddin.
Pada Jumaat, beberapa pemimpin UMNO Kedah mengadakan pertemuan dengan Najib dipercayai membincangkan kemelut ketika ini.
Pertemuan tersebut dibuat susulan sidang media Rabu lalu oleh kepimpinan UMNO negeri yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Sidang media yang dihadiri 14 Ketua Bahagian UMNO negeri itu mengumumkan pendirian hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mukhriz pula menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat untuk menilai prestasinya sejak Barisan Nasional berjaya merampas semula Kedah daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13.