Krisis dalaman PKR tidak beri kesan pentadbiran negara - Wan Azizah
Fareez Azman
Julai 25, 2019 14:43 MYT
Julai 25, 2019 14:43 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan bahawa krisis yang berlaku dalam PKR tidak akan memberi kesan kepada pentadbiran negara.
Jelasnya, meskipun berlaku perbezaan pandangan tetapi fokus utama parti adalah memulihkan negara.
"Tidak ada sebab apa, parti politik memang begitu. Tapi apa yang kita mahukan kesatuan dalam memulihkan negara kita.
"Kesan politik memang dalam parti kan macam itu, tetapi kita satu, sebab ramai di bawah itu anggota parti menyokong presiden. Pentadbiran negara tidak ada apa-apa yang tergugat," jelasnya Wan Azizah
Mengulas mengenai arahan Lembaga Displin Parti yang meminta Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan mereka mengenai isu video intim baru-baru ini.
Ujar Wan Azizah, ia selepas mesyuarat Biro Politik pada rabu membuat keputusan agar dua individu terbabit memberi keterangan.
"Semalam ada mesyuarat dan biro politik telah membuat keputusan bahawa mereka akan sebab ada aduan tertulis nama mereka, jadi Biro Disiplin akan melihat dan mengkaji kes ini," ujarnya
Wan Azizah berkata demikian selepas ditemui media selepas merasmikan Festival Keseniaan dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF 2019) di Kompleks Perbadanan Putrajaya pada Khamis.