'Krisis air buktikan pentadbiran Azmin makin tenat'
Astro Awani
Mac 10, 2018 10:55 MYT
Mac 10, 2018 10:55 MYT
Krisis air Selangor membuktikan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri sekali gus kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kata Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.
Beliau menegaskan, ia membuktikan Menteri Besar Selangor itu gagal mengawal isu terutama permasalahan utama yang melibatkan rakyat.
"Tiada seorang pun kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor turun memberi bantuan, terutama di Shah Alam ini.
"Isu ini semakin kronik apabila rakyat sudah semakin terdesak untuk mencari air sehingga banyak urusan penting tertangguh akibat ketiadaan air.
"Krisis ini semakin tenat dan memberi bayangan kepimpinan Selangor sama tenat seperti isu ini," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohamed Azmin bertegas isu air yang melanda negeri itu bukan bermaksud bekalan air terawat mengalami masalah, sebaliknya gangguan itu datang daripada kegagalan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor (Splash) Sdn Bhd menjalankan penyenggaraan terhadap aset mereka.
Katanya, adalah tidak adil untuk segelintir pihak mempolitikkan masalah itu dan meletakkannya ke atas bahu kerajaan negeri memandangkan mereka tidak mempunyai hak untuk menyelenggara aset Splash.
Dalam pada itu tegas Azhari, kenyataan Khalid Abdul Samad yang berkata 'semuanya baik sahaja' dalam isu air membuktikan Ahli Parlimen Shah Alam itu tidak pernah turun padang.
"Bagaimana dia boleh kata semuanya baik? Apakah dia tidak meninjau kawasannya sendiri?
"Penduduk di sini ada yang terpaksa mengambil air dari paip pecah dan beratur lama untuk menunggu bantuan bekalan air.
"Apakah dia tidak merasa kesusahan warga Shah Alam yang sudah satu minggu tidak ada air? Semudah itu dia kata minta menunggu loji siap diselenggara," tegasnya.
Rakyat Selangor sebelum ini dilaporkan menyatakan perasaan muak kepada kerajaan negeri apabila masalah bekalan air masih sukar ditangani sehingga menyusahkan penduduk terutamanya warga emas.
Jelas Azhari, pihaknya sebelum ini turut bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam mengagih 80,000 liter air bersih kepada warga di sekitar Bandaraya Shah Alam yang menghadapi krisis bekalan air ketika ini.