Tidak terkecuali menerima tempiasnya adalah rakyat di Kelantan, dengan sumber pendapatan yang tidak meningkat, pastinya ia membataskan pembelian serta sedikit sebanyak menjejaskan kualiti hidup seharian mereka.
Bagi penghantar barangan, Kamarudin Ibrahim, dia tidak mampu untuk membuat simpanan kerana pendapatan yang tidak seberapa disamping harga barangan pula semakin meningkat.
“Saya terpaksa kerja lebih kuat untuk tanggung keluarga. Anak-anak nak membesar ini perlu duit banyak. Harga susu anak naik, dulu RM22, kini RM27.
“Gaji saya pun RM1,500, sewa rumah lagi, isteri pula tidak bekerja. Nak buat simpanan pun tidak boleh,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Situasi ini turut dirasai oleh golongan pesara walaupun mereka mendapat manfaat persaraan, namun turut merasai keperitan susulan harga barangan dan kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Memang kos sara hidup semakin tinggi, kita sebagai pesara yang dapat pendapatan separuh daripada sebelum ini sangat terasa.
“Barang mahal, ikan ayam mahal, jadi susah untuk kita urus kehidupan seharian kerana banyak duit kena guna. Kiranya celik mata dah kena keluar duit,” jelas pesara kerajaan, Ruzdin Mohd.
Susulan harga barangan yang semakin meningkat, peniaga juga terpaksa menaikkan harga produk, lantas situasi ini akan menyebabkan pelanggan merungut atas kenaikan harga itu.
“Kos sara hidup melambung tinggi, rakyat sekarang tak faham kenapa harga bahan mentah selepas COVID-19 ini melambung tinggi.
“Boleh dikatakan harga baik setiap minggu atau bulan. Kita sebagai peniaga juga terpaksa naikkan juga harga produk, lepas itu orang ramai pula merungut pada kami,” jelas peniaga gerai makanan, Rusli Mohamed.
Besar harapan mereka supaya kerajaan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak, dapat cakna akan masalah akar umbi dan berusaha mencari solusi untuk meringankan kos sara hidup rakyat.