Konvensyen Tahunan DAP: Liew Chin Tong kekal Pengerusi, wanita turut dapat tempat

Astro Awani
Mei 2, 2021 18:39 MYT
Liew Chin Tong mengekalkan kedudukannya dalam pemilihan pada konvensyen tahunan DAP Johor. - Foto Astro AWANI
BATU PAHAT: Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mengekalkan kedudukannya dalam pemilihan pada Konvensyen Tahunan DAP Johor yang berlangsung di Batu Pahat hari ini.
Tempat Timbalan Pengerusi DAP Johor juga kekal milik Teo Nie Ching.
Manakala bagi Naib Pengerusi Negeri, perwakilan memilih muka baharu iaitu Sheikh Umar Bagharib Ali dan mengekalkan S. Ramakrishnan.
Lima ahli turut dilantik mengisi jawatankuasa.
Seteru Chin Tong yang juga setiausahanya, Tan Hong Pin tidak berjaya mendapat undi untuk kelayakan 15 anggota jawatankuasa utama.
Chin Tong berkata jawatankuasa baharu ini akan memimpin parti DAP Johor dengan memberi fokus kepada pilihan raya umum akan datang.
Katanya terdapat lima fokus yang digariskan.
"Jawatankuasa baharu yang diketuai oleh Liew Chin Tong dan Teo Nie Ching akan teguh dalam menegakkan lima matlamat kerja yang disenaraikan dalam rancangan kami, iaitu persiapan untuk PRU15, persiapan holistik untuk memerintah, merealisasikan matlamat DAP menjadi parti berbilang kaum, transformasi parti dari kedai runcit hingga pasar raya besar dan menjadi parti politik pilihan untuk belia dan wanita,” kata Chin Tong.
Pemilihan ini mencatatkan 69 peratus kehadiran perwakilan membabitkan 1,031 dari pada keseluruhan 1, 489 perwakilan.
Sementara itu, ahli wanita menguasai pemilihan 15 jawatankuasa DAP Johor.
Antara yang mendapat undi tertinggi ialah Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dengan 631 undi.
Diikuti bekas Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dengan 577 undi.
Nie Ching berkata, ia menunjukkan DAP sentiasa memberi ruang yang luas kepada wanita.
"Saya percaya dalam komuniti jawatankuasa baharu ada orang baharu dan muda. Satu komposisi yang bagus untuk pastikan DAP Johor berkembang.
Saya bangga kerana wakil rakyat atau pemimpin wanita menunjukkan keupayaan dan dihargai oleh perwakilan, kami berjaya menunjukkan kemampuan untuk mereka terus beri sokongan dan ruang besar utk ahli wanita," kata Nie Ching.
Turut menguasai pemilihan itu, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dan Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung masing-masing meraih undi 555 dan 553.
#DAP #Batu Pahat #pemilihan #politik #Liew Chin Tong #Teo Nie Ching #pilihan raya umum #konvensyen Johor
;