Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah pentas bentuk persefahaman - Mahdzir

Adie Sufian Zulkefli
Mei 18, 2023 15:31 MYT
Mahdzir (tengah) ditemui sebaik mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah di Bangunan Tunku, di Alor Setar pada Khamis. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah yang bakal diadakan pada Ahad ini di Alor Setar adalah bertujuan untuk membentuk persefahaman dalam kalangan pemimpin parti di semua peringkat Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, seramai 1,300 peserta dari 15 Parlimen di Kedah akan hadir dan perhimpunan tersebut bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, konvensyen itu juga sebagai persediaan kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
"Persefahaman sudah ada dalam kepimpinan Kerajaan Perpaduan antara BN dan PH. Jadi kita nak pergi selangkah lagi ke hadapan sebab sekarang ini kita nak pergi kepada PRN yang paling kurang 60 hari lagi (dari sekarang).
"Jadi maknanya kita bergerak satu lagi langkah ke hadapan. Di antara BN dan PH bukan sahaja lapisan kepimpinan di atas (persefahaman sudah ada) tetapi juga sampai ke pelbagai peringkat hingga ke akar umbi dalam parti," katanya.
Mahdzir ditemui sebaik mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah di Bangunan Tunku, di sini pada Khamis.
Hadir sama Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Ismail Salleh dan Pengerusi DAP kedah, Tan Kok Yew.
Mahdzir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata, pada konvensyen tersebut juga, para peserta akan menyertai perbincangan meja bulat untuk membentuk persefahaman lebih baik.
Jelasnya, penerangan yang dibuat sebelum ini daripada semasa ke semasa telah membolehkan ramai orang semakin faham apa yang dikatakan tentang Kerajaan Perpaduan.
"Macam kerjasama di antara BN dengan parti-parti dalam PH. Awalnya dia agak takut sikit, kekok. UMNO dipanggil parti Melayu, DAP dipanggil parti Cina jadi macam mana boleh kerjasama.
"Dahulu memang musuh sebab dua-dua bawah platform yang berlainan tapi bila sampai waktu sudah menjadi kerajaan dan bersama, saya tidak fikir kita ada masalah.
"Kalau cari masalah, banyak akan jadi masalah. Kalau kita cari kebaikan bersama saya fikir kita boleh tanggani dan kita nak pergi kepada satu kerajaan stabil untuk rakyat melalui perpaduan," katanya lagi.
Tambahnya, perkara yang sama turut dilalui sebagai pemimpin namun perkara tersebut semakin boleh diterima selepas wujud persefahaman dengan pemimpin politik parti lain.
#Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah #Mahdzir Khalid #Zahid Hamidi #UMNO
;