Konvensyen Nasional: Noktahkan permusuhan politik, tumpu agenda kerajaan - Adam Adli
Hilmi Malik
Mei 14, 2023 12:37 MYT
Mei 14, 2023 12:37 MYT
KUALA LUMPUR: Suhu ketegangan politik di negara ini perlu diketepikan meskipun wujud perbezaan fahaman politik.
Gesaan itu dibuat Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli yang berpendapat, politik di negara ini memerlukan nafas baharu dalam memastikan agenda yang dibawa Kerajaan Perpaduan dapat dicapai terutamanya bagi generasi muda.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu mungkin sukar dicapai sekiranya kerjasama yang terjalin tidak hadir dalam satu perjuangan yang ikhlas.
“Kalau kita tidak fikirkan apa yang berlaku dalam negara, soal kemelut politik, krisis ekonomi yang drastik maka kita tidak akan berhimpun pada pagi ini .
“Mana mungkin kalau tiada keadaan sebegini kita akan duduk bersama dan masih selesa untuk terus bermusuhan dalam berpolitik,” katanya.
Adam berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Pemuda Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia, di sini, pada Ahad.
Sesi berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang bersama-sama menyaksikan pelancaran Tekad Pemuda Perpaduan dan Geng Perpaduan.
Sementara itu, Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, perhimpunan yang berlangsung hari ini merupakan titik sejarah dalam arena politik negara dalam menentukan masa depan negara yang lebih baik.
Menyentuh mengenai soal anak muda, Adam mengakui usaha untuk menyampaikan agenda kerajaan agak sukar untuk disalurkan kepada golongan berkenaan berikutan wujud beberapa perkara yang masih belum diselesaikan.
Menurutnya, isu yang membelenggu anak muda misalnya, peluang pekerjaan, gaji dan perumahan sememangnya mudah untuk dibahaskan, namun, kesemua itu memerlukan satu perubahan menyeluruh selain melihat kepada faktor utama terhadap permasalahan itu.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga berkata, usaha Kementerian Belia dan Sukan memperkenalkan Program Pendidikan Demokrasi merupakan inisiatif kerajaan dalam melahirkan generasi muda yang berpengetahuan dalam selok-belok politik di negara ini.
“Ini merupakan langkah untuk mematangkan anak muda dalam berpolitik, kita sudah turunkan umur mengundi, namun, tanggungjawab kerajaan tidak terhenti di situ… kita beri mereka platform dan kita juga perlu berikan mereka pendedahan yang sebenar.
“Kita tak boleh lahirkan pengundi muda yang hanya dilihat sebagai angka kerana mereka (golongan muda) juga perlu dilihat sebagai pembuat keputusan dan penguat terhadap negara,” kata beliau lagi.