Kontroversi ucapan Raya: Tiada maaf bagimu, Nga Kor Ming!
Harits Asyraf Hasnan
Julai 13, 2016 17:31 MYT
Julai 13, 2016 17:31 MYT
Kelab Naib Ketua Bahagian UMNO 1Malaysia (KNKBU1M) menggesa pihak polis membuka kertas siasatan segera berhubung kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang disifatkan berunsur provokasi.
Pengerusinya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus berkata kelab itu turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjalankan siasatan terperinci terhadap Nga.
"Selaras itu, KNKBU1M ingin menggesa Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat secara terperinci perbuatan Nga Kor Ming yang kami dapati termasuk dalam satu perbuatan jenayah di bawah Seksyen 298 dan 298(A) Kanun Keseksaan serta Seksyen 4(1)(b) dan (c) Akta Hasutan 1948.
"Kami juga mendesak pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk melaksanakan kuasa dan budi bicara siasatan mereka di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke atas perlakuan Nga Kor Ming yang menyalahi Seksyen 211(1) dan Seksyen 233 Akta berkenaan," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Malah, kelab itu juga enggan menerima sebarang permohonan maaf daripada Nga, sebaliknya mahu beliau dikenakan tindakan sewajarnya.
"Kami mengambil pendirian bahawa kami tidak berminat dengan sebarang permohonan maaf daripada Nga Kor Ming. Malah, kami tidak mendesak beliau berbuat demikian.
"Kami juga tidak akan mengendahkan apa-apa jua tindakan mitigasi atau damage control yang mungkin dibuat DAP atau mana-mana pemimpin kanan parti berkenaan untuk meredakan kemarahan rakyat dengan memberi pelbagai justifikasi berhubung isu ini," tegas Mohammad Anuar.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Temerloh berkata, ini bukanlah kali pertama Kor Ming mengeluarkan kenyataan biadab dan berunsur provokasi terhadap sensitiviti kaum di negara ini.
"KNKBU1M ingin menegaskan bahawa perbuatan Nga Kor Ming telah mengguris dan melukakan hati masyarakat Melayu Islam di Malaysia secara mendalam. Sifat berdolak-dalik beliau yang ingin menafikan posting beliau atas penulisan tersebut bertujuan melukakan hati orang Melayu Islam.
"Tambahan pula, ini bukanlah kali pertama Nga Kor Ming menulis atau memuat naik penulisan atau bahan bacaan yang bersifat tidak sensitif kepada masyrakat Melayu Islam. Dalam hal ini beliau boleh dianggap sebagai pesalah tegar dan bersiri," katanya.
Nga baru-baru ini, mempersendakan amalan pemberian duit raya sebagai dedak dan ucapan Selamat Hari Raya berunsur provokasi dalam laman sosialnya.