Kontroversi tafsiran merumitkan usaha penyelesaian muktamad kemelut MIC

Datuk M Periasamy
Mei 19, 2016 08:00 MYT
Berapa lama lagikah dapat kita temui jalan penyatuan antara kem-kem yang tidak bersefahaman dalam parti MIC?
KRISIS kepimpinan MIC yang tercetus mengenai pemilihan parti pada tahun 2013 didapati belum selesai secara muktamad kerana lapan orang penyokong bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dilaporkan memfailkan saman di Mahkamah Sivil Baharu (NCvC), terhadap Datuk Seri Dr. Subramaniam.
Kumpulan tersebut mendakwa kononnya Subramaniam, yang juga menjawat jawatan Menteri Kesihatan Malaysia, telah ‘mengeliru dan merasuah’ pegawai-pegawai Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar mempercayai hujah-hujahnya dalam menyingkir Palanivel daripada kepimpinannya.
Kemelut MIC tercetus apabila ROS mengarahkan MIC mengadakan semula pemilihan parti yang diadakan pada 1 Disember 2013 kerana ROS mendapati pemilihan tersebut tidak sah kerana terbukti wujudnya ‘irregularities’ atau penyelewengan dalam pemilihan tersebut.
ROS menjelaskan bahawa tindakan terhadap MIC adalah diambil berdasarkan syarat yang terkandung dalam Akta Pendaftaran Pertubuhan 1966.
Namun, Palanivel yang tidak menerima keputusan ROS, buat permohonan ‘Semakan Kehakiman’ bersama penyokongnya terhadap arahan tersebut di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.
Namun, permohonan Palanivel telah ditolak oleh mahkamah, malah Mahkamah Persekutuan yang mendengar kes tersebut mengekalkan keputusan ROS sambil Peguam Kanan Persekutuan membuat kenyataan memperakui Subramaniam, yang dipilih dalam pemilihan baharu, sebagai Presiden MIC yang sah.
Keputusan Mahkamah Persekutuan yang dijangka menamatkan kesangsian terhadap Subramanian sebagai Presiden MIC didapati tidak menamatkan kemelut MIC, malah kemelut dalaman MIC terus berpanjangan sehingga hari ini.
Persoalan yang masih timbul dan berlegar dalam media malah dalam pemikiran sebahagian ahli-ahli MIC adalah apakah Palanivel hilang keahlian parti di bawah perkara 91 perlembagaan MIC dan apakah pemilihan Subramaniam sebagai Presiden MIC yang baharu diterima baik oleh majoriti ahli MIC?
Isu kehilangan Palanivel sebagai ahli MIC dalam konteks ipso facto kerana permohonan semakan kehakiman terhadap arahan ROS di mahkamah didapati menimbulkan pelbagai tafsiran dan respon malah perasaan tidak puas hati dalam kalangan sebahagian ahli-ahli MIC.
Kumpulan yang menyokong Palanivel berpendapat bahawa semakan kehakiman yang dipohon oleh Palanivel dan rakan-rakannya tidak bercanggah dengan perlembagaan MIC kerana prosiding semakan kehakiman adalah terhadap Pendaftar Pertubuhan dan bukan prosiding mahkamah terhadap keputusan dibuat CWC berhubung hak, kewajipan, tugas dan hak istimewa sebagai ahli MIC.
Kontroversi tafsiran perlembagaan MIC ini didapati terus menjadi halangan kepada usaha-usaha menyatupadukan ahli-ahli MIC.
Pada hemat saya keputusan Mahkamah Sivil nanti tidak akan menjamin penyelesaian yang muktamad kepada kemelut kepimpinan MIC.
Apa yang diperlukan untuk menyelesaikan kemelut MIC adalah sikap mendahulukan kepentingan parti lebih daripada kepentingan agenda politik oleh kedua-dua kumpulan yang berselisih faham dan bertelagah.
Kemelut MIC yang berpanjangan dijangka bukan sahaja membosankan sebahagian besar ahli MIC malah akan menggagalkan usaha-usaha Subramaniam untuk meraih sokongan ahli-ahli MIC terhadap BN dalam PRU14 .

* M. Periasamy merupakan penganalisis politik MIC dan pensyarah komunikasi strategik di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR)
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#berita politik #kemelut MIC #MIC #penyatuan MIC #pertelagahan
;