Konon nak jadi 'hero', sanggup tolak manfaat untuk rakyat - Rizal Mansor
Astro Awani
November 15, 2017 07:00 MYT
November 15, 2017 07:00 MYT
Pemimpin pembangkang, khususnya ahli Parlimen, diingatkan agar tidak mengorbankan manfaat yang bakal diraih rakyat semata-mata mahu dilihat sebagai "hero".
Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor berkata memang menjadi tugas pembangkang untuk membuat semak dan imbang dalam sistem berparlimen di Malaysia, namun ia bukan alasan untuk menolak Bajet 2018.
Bajet 2018, tegas Rizal, banyak memberi kebaikan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan parti yang disokong mereka.
"Tolak Bajet 2018, maknanya tolak bantuan BR1M untuk rakyat, tolak kenaikan gaji dan bonus khas kakitangan awam dan tolak bantuan pendidikan dan pembangunan untuk negara.
"Apakah dengan menolak bajet ini bermakna DAP juga tolak usaha menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan tolak bantuan untuk pekebun kecil serta dana kampung Cina di seluruh negara?
"Juga, bagaimana kerajaan nak bayar gaji dan elaun ahli Parlimen pembangkang jika mereka menolak belanjawan ini?" katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Baru-baru ini, 59 ahli Parlimen pembangkang yang mewakili DAP, PKR, PPBM dan Amanah menolak Bajet 2018 selepas ia dibahaskan di Dewan Rakyat.
Manakala 11 ahli Parlimen Pas pula mengambil sikap berkecuali.
#Amanah
#Bajet 2018
#Barisan Nasional
#DAP
#Dewan Rakyat
#Pakatan Harapan
#PAS
#PKR
#PPBM
#Rizal Mansor
#UMNO
#wakil rakyat