Kongres Rakyat: Tak jantan lawan perdana menteri pencen - Mat Sabu
Hilal Azmi
Mac 27, 2016 21:29 MYT
Mac 27, 2016 21:29 MYT
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu sanggup mengenepikan dendam silam demi menyelamatkan Malaysia.
Katanya, biarpun pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau boleh berada satu pentas dengan bekas perdana menteri itu.
"Kita datang bukan kerana dendam peribadi memandangkan Islam juga mengajar kita untuk berkatalah benar di depan pemimpin zalim, bukan pemimpin pencen yang zalim.
"Kalau kita berani kritik orang yang dah pencen, itu bukan jantan namanya," katanya ketika berucap di Kongres Rakyat 2016 di sini hari ini.
Beliau turut memberi contoh sejarah Islam di mana Imam Syafie, Imam Abu Malik dan Abu Hanifah yang dipenjarakan kerana mengkritik pemimpin yang menyeleweng di zaman mereka tetapi bukan mengkritik Abu Lahab dan Abu Jahal yang telah lama pergi.
Kongres Rakyat 2016 yang diadakan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dihadiri kira-kira 2,000 peserta.
Lebih 20 pemimpin pelbagai parti hadir untuk menyatakan sokongan mereka kepada Deklarasi Rakyat yang dilancarkan 4 Mac lalu.