Kongres Rakyat: Kedudukan Muhyiddin, Mukhriz akan ditentukan MT UMNO - Zahid
Astro Awani
Mac 28, 2016 19:47 MYT
Mac 28, 2016 19:47 MYT
Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai ahli UMNO bakal ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu akan datang.
Perkara itu disahkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen pada Isnin.
"Kita akan bincangkannya pada mesyuarat Majlis Tertinggi yang akan datang," katanya kepada pemberita.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengulas mengenai kehadiran Muhyiddin dan Mukhriz pada Kongres Rakyat 2016 di Shah Alam, pada Ahad.
Muhyiddin dan Mukhriz antara 18 individu yang berucap dalam majlis yang dianjurkan oleh kumpulan yang menuntut perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menegaskan bahawa ahli UMNO yang hadir ke majlis berkenaan akan dikenakan tindakan disiplin termasuk dibuang daripada parti.