'Kongres Rakyat 2016 kempen sementara yang sia-sia' - Azwan Bro
Wan Syamsul Amly
Mac 28, 2016 17:46 MYT
Mac 28, 2016 17:46 MYT
Pergerakan Pemuda UMNO melihat himpunan Kongres Rakyat 2016 hanya sekadar kempen sementara, sia-sia dan tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada rakyat.
Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, berdasarkan kepada ucapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin lain, ia hanya sebuah pakatan yang retak menanti belah dan hanya menunggu masa untuk runtuh.
"Setelah diamati, para pemimpin yang hadir semalam sudah mula melupakan janji dan prinsip perjuangan masing-masing hanya untuk mencapai tujuan politik peribadi serta dibuat atas prinsip matlamat menghalalkan cara.
"Kebanyakan yang hadir pada perhimpunan tersebut terdiri daripada individu yang sememangnya sudah menyokong pembangkang dan pada masa yang sama membenci kerajaan sedia ada.
"Modus operandi mereka untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga adalah bertentangan dengan sistem demokrasi berparlimen yang menjadi pegangan kita selama ini," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Khairul Azwan mengulas himpunan Kongres Rakyat yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Ahad dan dihadiri kira-kira 2,000 hadirin.
Rata-rata pemimpin yang menyampaikan ucapan telah menyentuh perkara-perkara seperti penyalahgunaan kuasa, sistem kehakiman, dana politik, hak rakyat, pemulihan ekonomi dan cita-cita menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.
Seramai 19 pemimpin pelbagai latar belakang menyampaikan ucapan termasuk Dr Mahathir yang antara lain merumuskan tentang harapan dan masa depan rakyat negara ini.
Dalam pada itu tegas Khairul Azwan, tindakan kumpulan itu hanya membawa negara ke lembah anarki dan dipandang hina oleh komuniti antarabangsa.
"Para pemimpin yang hadir semalam juga memaparkan sisi jelik mereka apabila hanya berminat untuk menggunakan emosi dan dendam peribadi Dr Mahathir untuk menyemarakkan kebencian terhadap Najib.
"Kami ingin menegaskan bahawa kami menyokong penuh dan mempertahankan kepimpinan Najib yang telah dilantik melalui pemilihan parti dan mendapat mandat rakyat melalui proses pilihan raya demokrasi berparlimen.
"Sebarang agenda peribadi pemimpin yang kecewa tidak harus menjadi penghalang kepada keamanan dan kemajuan negara bangsa," jelasnya.