Kongres PKR: Perwakilan minta tambah kuota jawatan naib presiden dari Sabah, Sarawak
Bernama
November 26, 2023 14:50 MYT
November 26, 2023 14:50 MYT
PUTRAJAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mencadangkan agar parti itu meminda Perlembagaan PKR untuk menambah satu lagi kuota pelantikan jawatan naib presiden dari Sabah dan Sarawak.
Ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan perwakilan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023, perwakilan Sarawak Khusyairy Pangkas berkata ketika ini hanya terdapat satu pelantikan bagi jawatan tersebut untuk diisi oleh ahli dari kedua-dua wilayah itu dan ia mengikut penggiliran.
"Barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) harus melihat perkara ini supaya kita (PKR) dilihat berintegrasi antara wilayah dan negeri dalam parti kita sendiri. (Pertimbangkan) supaya lantikan Naib Presiden tidak bergilir antara Sabah dan Sarawak," katanya.
Kongres yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
Ketika ini, katanya jawatan Naib Presiden diwakili dari wilayah Sabah dan Sarawak diisi oleh Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari.
Menurut Perlembagaan PKR, Fasal 21 mengenai komposisi MPP menggariskan bahawa terdapat tiga jawatan naib presiden dengan sekurang-kurangnya seorang dalam kalangan ahli PKR bagi Sabah atau Sarawak hendaklah dilantik oleh presiden.
-- BERNAMA