Kongres Maruah Melayu: Amanah dan Pas satu pentas, apa salahnya? - Salahuddin

Isabelle Leong
Oktober 2, 2019 18:08 MYT
SALAHUDDIN: Apa salahnya pemimpin Amanah dan Pas duduk bersama? Tiada masalah. - Foto Astro AWANI
Parti Amanah Negara (Amanah) berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk duduk bersama-sama dengan pemimpin Pas dalam Kongres Maruah Melayu yang dijadualkan berlangsung pada 6 Oktober ini.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub, setakat ini partinya masih belum menerima sebarang jemputan untuk menghadiri kongres tersebut.
“Setakat ini, saya tidak menerima apa-apa jemputan lagi tentang kongres itu.
“Saya difahamkan, Tun Dr Mahathir, atas sifatnya sebagai Perdana Menteri dijemput untuk menyampaikan ucapan dan saya juga dengar ramai pemimpin yang lain akan hadir.
“Jadi kalau ditanya tentang duduk bersama, apa salahnya pemimpin Amanah dan Pas duduk bersama? Tiada masalah,” kata Salahuddin kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Countdown Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019 (HPPNK2019) di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Rabu.
Ditanya sama ada pemimpin Amanah akan hadir ke kongres tersebut jika menerima jemputan, beliau berkata parti akan membuatkan perbincangan sebelum memberi kata putus.
“Kehadiran pemimpin Amanah akan diputuskan oleh parti. Kami akan bincang dengan parti terlebih dahulu dan kami tunggu sama ada jemputan ke kongres itu atau tidak.
Sebelum ini, Dr Mahathir mengesahkan kehadirannya ke kongres tersebut sebagai pemimpin Melayu, dan bukannya sebagai perdana menteri serta akan memberikan amanatnya kepada umat Melayu.
Pada Isnin pula, Presiden parti Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata akan mewakili parti tersebut bagi menghadiri kongres yang akan diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil itu.
Empat universiti yang membentuk gabungan bagi menjayakan kongres tersebut adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Sementara itu, UMNO juga berkata pihaknya akan membuat keputusan sama ada untuk menyertai kongres tersebut atau tidak selepas membincangkannya dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang akan berlangsung pada Khamis.
Untuk rekod, Parti Amanah merupakan parti serpihan Pas yang ditubuhkan pada 2015.
#Amanah #Kongres Maruah Melayu #Parti Amanah Negara #parti serpihan #Salahuddin Ayub #Timbalan Presiden AMANAH #Tun Dr Mahathir Mohamad #UMNO
;