Kongres AMK PKR: Politik 'khemah besar' buang masa, percaturan sia-sia - Akmal Nasir
Firdaus Azil
Julai 15, 2022 14:56 MYT
Julai 15, 2022 14:56 MYT
KUALA LUMPUR: Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) disarankan untuk menghentikan langkah ‘khemah besar’, iaitu perbincangan mengenai persiapan bersama parti-parti lain untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata, pendirian Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu adalah jelas dan konsisten, selari dengan majoriti akar umbi parti yang tidak mahu PKR terus hanyut dengan politik 'khemah besar' (penyatuan parti politik).
Berucap buat kali terakhir sebagai Ketua AMK, beliau berkata, pendirian tegas sayap itu bukan bermaksud mereka sombong atau tidak mahu berkawan dengan parti-parti lain.
“Sehingga kini, perbincangan 'khemah besar' berkisarkan kepada siapa nak jawatan, tokoh Melayu mudah lupa tak suka siapa, esok nak berkawan tapi bersyarat, lusa tak nak kawan balik, maaf cakap, ini buang masa kalau dilayan dan tiada hasil!
“Janganlah tiru sikap musuh kita di sebelah sana, mengatur langkah politik sepanjang masa demi membebaskan tengkok daripada hukuman penjara mahupun mencatur dan melobi untuk kaut jawatan atau kekayaan yang seterusnya,” katanya lagi.
Akmal berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar beliau sempena Kongres Nasional Tahunan AMK bagi sesi 2021-2022, hari ini.
Susulan pemilihan parti yang baharu berakhir, aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim, bakal menggantikan Akmal sebagai ketua AMK bagi sesi 2022-2024, selepas menewaskan Ketua AMK Pulau Pinang Fahmi Zainol.
Berucap lanjut, Akmal berkata, politik 'khemah besar' itu ibarat perbuatan sia-sia catur-mencatur dan PKR serta PH sebaliknya perlu menggunakan masa yang masih tinggal untuk tumpukan kepada isu-isu rakyat.
“Sekiranya kita ada political will untuk move on, ikhtiar melalui Pakatan Harapan tumpu sepenuhnya membela rakyat boleh menghidupkan kembali semangat pendokong PH dan sekali gus mengembalikan penglibatan dan kerjasama akar umbi parti-parti komponen.
“Pada masa yang sama, kita perlu meraikan usaha mendekati pengundi atas pagar seperti kempen ‘Ayuh Malaysia’ yang dapat mengupas idea-idea melalui dasar dan polisi radikal yang melangkah kehadapan, menyedarkan masyarakat mengenai potensi dan peluang yang diperoleh apabila Keadilan diberikan peluang untuk memimpin,” katanya lagi.
Mengakhiri ucapannya, Akmal berkata, beliau yakin dengan pilihan seluruh anggota PKR yang mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Presiden parti, serta memilih Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden yang baharu.
Akmal berkata, beliau menzahirkan sepenuhnya sokongan buat kedua-dua pemimpin tersebut untuk bergandingan, dan menerajui parti dalam menghadapi PRU15.
“Setiap kedua-dua mereka mempunyai peranan besar yang mampu saling melengkapi antara satu sama,” katanya lagi.