Kon Yeow mula tugas Ketua Menteri Pulau Pinang secara rasmi

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 14, 2023 13:21 MYT
Kon Yeow memasuki pejabatnya di tingkat 28, di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), George Town pada jam 9 pagi tadi.
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mengangkat sumpah jawatan bagi penggal kedua semalam, memulakan tugas secara rasmi hari ini.
Kon Yeow memasuki pejabatnya di tingkat 28, di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), George Town pada jam 9 pagi tadi.
Kon Yeow berkongsi komitmen beliau untuk kekal memacu Pulau Pinang ke arah yang lebih cemerlang di laman sosial Facebook miliknya hari ini.
"Selamat pagi Pulau Pinang. Penggal baharu komitmen kekal untuk terus memacu negeri ini ke arah kecemerlangan,'' kata Kon Yeow.
Pada Ahad, Kon Yeow, 65, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengangkat sumpah memegang jawatan Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, kira-kira jam 9.35 pagi di Seri Mutiara, di George Town.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, Kon Yeow menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota dengan majoriti 7,116 menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), H’Ng Khoon Leng yang mendapat 1,145 undi.
Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang dilantik semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu selepas gabungan PH-BN memenangi 29 daripada 40 kerusi DUN sekali gus membentuk kerajaan negeri.
#PRN #PRN Pulau Pinang #Chow Kon Yeow #Ketua Menteri
;