Kombinasi pemimpin lama dan baharu pacu kestabilan politik
Eton Khir
November 21, 2021 16:37 MYT
November 21, 2021 16:37 MYT
KUALA LUMPUR : Kombinasi Exco dalam kalangan pemimpin lama dan pemimpin baharu dapat memacu kestabilan politik negara.
Pensyarah Kanan, Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kestabilan politik itu dapat dicapai dengan menunaikan janji manifesto dan memperkenalkan dasar-dasar pentadbiran baharu.
Selain itu, menurutnya, antara cadangan untuk kestabilan politik adalah dengan mewujudkan enakmen berkaitan lompat parti seperti yang diutarakan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu malam, ketika mengulas tentang kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
"Yang keduanya, adalah membentuk barisan Exco yang terbaik. Perlu ada kombinasi antara pemimpin lama dan pemimpin baharu dan juga ada wakil wanita," ujar Mohd Azizuddin.
Menurutnya, kemenangan 21 kerusi, dapat memberi kebebasan dan keselesaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk memilih calon-calon yang terbaik dalam pembentukan kerajaan.
"Situasi sebelum ini, yang perlu adanya gabungan parti menyebabkan kompromi dilakukan dengan parti (lain) sehingga kadangkala matlamat membentuk kerajaan yang dikehendaki oleh Ketua Menteri agak sukar dilakukan," katanya pada program Buletin Khas AWANI, di sini pada Ahad.
Jelas Mohd Azizuddin lagi, dengan kemenangan dua pertiga di Melaka itu, sedikit sebanyak mampu menyelesaikan masalah, dan memberikan peluang kepada kerajaan agar fokus mencapai visi serta matlamat manifesto.