[KOLUMNIS] Sungai Bakap mengalir kecewa nasional
G Manimaran
Julai 11, 2024 12:45 MYT
Julai 11, 2024 12:45 MYT
DALAM pandangan yang disiarkan oleh Astro AWANI Jumaat lalu, sehari sebelum hari pengundian di bawah tajuk “Menanti mesej penting di Sungai Bakap esok”, saya telah meramalkan peratusan keluar mengundi bakal menentukan kemenangan calon dan aras majoriti yang bakal direkodkan.
Saya menjangkakan peratusan keluar mengundi di antara 62 dan 65 peratus.
Dari awal lagi Pakatan Harapan (PH) memulakan saingan dengan ramalan pihaknya ada peluang untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai Bakap, yang terletak di kawasan Parlimen Nibong Tebal yang disandang oleh wakil rakyat – Menteri Pendidikan dari PKR.
Kemenangan itu jika diperoleh PH tidak akan mengubah kedudukan kerajaan yang memerintah di Pulau Pinang.
Begitu juga jika Perikatan Nasional (PN) menang tidak akan membawa kedudukan baharu di negeri itu.
Dekat tapi jauh
Calon PH tidak mampu melepasi garisan penamat dengan kemenangan yang telah diramalkan sejak sebelum penamaan calon dan sehingga akhir minggu pertama tempoh berkempen.
Pada Sabtu lalu, PN berjaya mengekalkan penguasaannya apabila calon mereka Abidin Ismail diumumkan menang dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini.
Abidin, ADUN baharu dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.
Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal itu yang mesra dengan panggilan “Abang Bidin” menang dengan majoriti 4,267 undi, lebih besar berbanding dengan mantan bosnya.
Kemenangan Abidin menyaksikan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) gagal untuk merampas kembali kerusi kawasan yang pernah disandang oleh PKR selama tiga penggal.
Sungai Bakap terdiri daripada 39,279 pengundi berdaftar yang layak mengundi.
Peratusan keluar mengundi yang dicatatkan 63.45 peratus manakala sebanyak 208 kertas undi ditolak.
Mengikut komposisi kaum, pengundi Melayu terdiri daripada 59 peratus, diikuti Cina 22.5 peratus, India 17.4 peratus dan bangsa-bangsa lain satu peratus.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018, Sungai Bakap merekodkan peratusan keluar mengundi sangat tinggi, iaitu 87.1 peratus.
Sungai Bakap merupakan salah satu daripada tiga kerusi DUN yang merekodkan lebih 87 peratus keluar mengundi enam tahun lalu. Sabtu lalu ia merudum, juga lebih rendah berbanding 76 peratus Ogos lalu.
Maklumat tidak rasmi yang tular di media sosial menunjukkan peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina dan India merosot antara 10 hingga 13 peratus. Ia juga dilihat sebagai antara faktor kekalahan PH.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow melihat penurunan itu menyebabkan pihaknya kehilangan pengundi Cina dan India dengan ketara jika dibandingkan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.
"Kekurangan peratusan ini sedikit sebanyak menyebabkan kita hilang 1,000 hingga 2,000 undi. Kita jangkakan 65 peratus yang akan keluar mengundi (namun sebaliknya berlaku),” kata beliau sejurus keputusan diketahui.
Ini kali pertama PH Pulau Pinang menyaksikan penurunan buruk sejak PRU14.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang melihat penolakan rakyat berhubung isu di peringkat nasional, negeri dan setempat turut menyumbang kepada kurangnya keyakinan pengundi terhadap cara kerajaan menyelesaikan isu terbabit yang menjadi kegusaran rakyat selama ini.
Pandangan Chow itu mencerminkan hakikat sebenar.
Pengundi Cina ‘tawar hati’
Keadaan lebih buruk apabila pengundi kalangan ahli UMNO yang turut diramalkan akan beralih kepada BN dengan memberikan sokongan padu kepada calon PH juga tidak menjadi.
Tiga hari menjelang hari pengundian, pekerja-pekerja PH di lapangan berkongsi kemungkinan pola pengundian dalam kalangan kaum Cina.
Pengundi Cina mula ‘tawar hati’ untuk keluar mengundi. Satu senario yang pernah disaksikan dalam beberapa PRU semasa era pemerintahanb BN pada penghujung 1980-an dan 2008 dan 2013.
Situasi ini mula menghantui PH dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan menjelang Sabtu lalu.
Dalam kenyataannya yang dikeluarkan sehari selepas nasib Sungai Bakap diketahui, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima suara rakyat di Sungai Bakap.
Anwar, Perdana Menteri dan Pengerusi PH berkata: “Kerajaan MADANI menginsafi keputusan ini dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat dan sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara.”
Presiden PKR itu menambah, dengan dasar dan komitmen yang jitu, gabungan Kerajaan Perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif bertepatan dengan realiti hari ini dan anjakan baharu negara yang sedang berjalan.
PN sebagaimana dijangkakan, selaku juara menyifatkan kemenangan diraih menandakan keyakinan rakyat dalam perjuangan membela nasib mereka.
Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah turun berkempen beberapa kali berkata, ia juga isyarat jelas penolakan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan PH-BN yang menyusah dan merimaskan rakyat.
"Ini termasuk penyasaran subsidi diesel yang menyebabkan kenaikan harga barang dan menambah beban rakyat, kedegilan kerajaan meneruskan penjualan saham MAHB (Malaysia Airport Holdings Bhd kepada Global Infrastructure Partners (GIP) walaupun ditentang hebat oleh rakyat dan kegagalan kerajaan melaksanakan janji-janji reformasi institusi malah semakin mencengkam kebebasan rakyat.
“PRK Sungai Bakap menunjukkan pengundi bijak menilai dan mereka tidak termakan dengan sogokan dan pujukan PH-BN.”
Dalam ceramah kempennya, itu isu-isu digunakan oleh beliau sendiri dan pemimpin-pemimpin PN.
Kekalahan calon parti yang memerintah dalam PRK bukanlah baharu ataupun sesuatu yang luar biasa.
Jika mengambil kira rekod sepanjang lima tahun lalu, parti yang memerintah pernah kehilangan kerusi yang disandang. Malah kekalahan yang mengejutkan. Undi dan majoriti yang mengejutkan. Bukan sahaja tewas, tetapi majoriti undi juga besar.
Ini termasuklah semasa PRK Tanjung Piai pada 2019 yang menyaksikan PH tercicir kerusi Parlimen itu di tangan BN.
Begitu juga barisan pembangkang bagi Kerajaan Pusat. Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Johor Bahru, Lunas dan Hulu Selangor.
Di sebalik ikatan kerjasama dan formula kejayaan PH di Kuala Kubu Baharu lebih sebulan yang lalu, dan di atas kertas wakil gabungan itu disifatkan mempunyai peluang yang cerah untuk mencatatkan kejayaan tetapi berakhir dengan kekalahan dengan jurang undi yang besar.
Tiga kali ganda berbanding dengan majoriti yang diperoleh calon PN 11 bulan yang lalu semasa PRN.
Persaingan kekal sengit seperi mana yang dihadapi oleh dua gabungan utama di Kuala Kubu Baharu.
Keputusan akhir di gelanggang Sungai Bakap menunjukkan gelombang rakyat. Rakyat sekali lagi menzahirkan mereka mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang boleh menang dan sebaliknya.
Kita tahu senarai isu yang dilontarkan, dimainkan dan dieksploitasi oleh parti yang bertanding.
Malah parti yang tidak bertanding pun mengambil peluang untuk berkempen. Isu nasional, negeri dan tempatan. Ia menyentuh soal kepimpinan, dasar kerajaan semasa, kepentingan rakyat dan geoekonomi.
Perlu diakui bahawa PN telah mengoptimumkan peluru isu yang muncul.
PH, yang mengetuai Kerajaan Pusat dan beberapa negeri, telah gagal dalam responsnya kepada isu-isu yang dibangkitkan dengan berkesan di lapangan.
Kerajaan Perpaduan bukan tidak melakukan yang terbaik, tetapi gagal dalam naratif mereka.
Penjelasan di Parlimen sahaja tidak mencukupi. Penerangan yang diberikan di peringkat nasional, di Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak cukup taring dalam memikat pengundi di Sungai Bakap.
PH khususnya telah gagal sekali lagi. Kali ini di Sungai Bakap yang mempunyai lebih 39,000 pengundi.
Formula jentera Kerajaan Perpaduan dan PH di Kuala Kubu Baharu satu bulan yang lalu tidak menjadi di utara Semenanjung.
Rakyat menzahirkan kekecewaan mereka di Sungai Bakap. Bukan hanya pengundi Sungai Bakap, tetapi pola keputusan menggambarkan sentimen rakyat seluruh negara.
Jika PRK Kemaman, Pelangai dan Kuala Kubu Baharu dilaporkan akan menjadi referendum ke atas Kerajaan Pusat, pendirian di Sungai Bakap menjadi cerminan sebenar.
Kerajaan Pusat perlu lebih strategik dalam strategi, pendekatan, mekanisme menguruskan isu, dasar dan kepentingan rakyat.
Pengundi telah menyampaikan satu mesej yang amat mendalam tentang bagaimana kerajaan perlu dan harus menguruskan negara dengan mengambil kira kepentingan rakyat.
Keputusan Sabtu lalu sebenarnya gelombang rakyat – referendum rakyat, bukannya gelombang hijau. Ia seakan satu keputusan pilihan raya umum peringkat nasional.
Di Tanjung Piai lima tahun lalu. Kini Sungai Bakap.
* Dr G Manimaran merupakan penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir
** Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.