[KOLUMNIS] Suara rakyat, kebijaksanaan Raja lakar sejarah baru buat Malaysia
Mohsein Shariff
Disember 5, 2022 18:42 MYT
Disember 5, 2022 18:42 MYT
PILIHAN Raya Umum ke 15 (PRU15) telah melabuhkan tirai. Walaupun masih berbaki dua kerusi; satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN di Negeri Pahang namun keputusan dari kedua-dua kerusi tersebut tidak akan mengubah sifir politik dan mandat Kerajaan Perpaduan yang telah ditubuhkan. Kemenangan dan kekalahan kerusi-kerusi itu sekadar memberi isyarat kepada Kerajaan mahupun semangat kepada Pembangkang tentang hasrat rakyat dalam PRU15 ini.
Hasrat dan kuasa rakyat adalah suara keramat. Dalam tempoh sebulan sejak Parlimen penggal ke 14 dibubarkan, rakyat ditagih untuk membuat keputusan dan ditawarkan dengan pelbagai janji manifesto dan dakyah-dakyah kempen agar undi rakyat berpihak kepada gabungan parti yang bertanding. Negara meriah dengan pelbagai bentuk kempen pilihanraya. Dari kepelbagaian poster dan bendera yang berkibar di seluruh Malaysia sehinggalah pertarungan idea dan kandungan media di alam maya. Akhirnya kejayaan kempen pilihanraya telah diterjemahkan sebaik mungkin oleh lebih 15 juta rakyat Malaysia yang mengundi pada 19 November lalu. Keputusannya seperti yang kita sudah maklum, tidak ada gabungan yang mendapat mandat untuk menubuhkan kerajaan kerana semua gabungan tidak berjaya memiliki jumlah kerusi majoriti mudah.
Bertitik-tolak dari keputusan tersebut maka terhentilah hasrat dan kuasa rakyat menentukan kerajaan baharu. Secara realitinya, dalam PRU15 ini kuasa rakyat hanya menentukan gabungan yang mendapat kerusi terbanyak, tetapi tidak cukup untuk memberi mandat kepada gabungan tersebut menubuhkan kerajaan. Itu adalah hakikat yang harus diterima seluruh rakyat bahawa hak sebagai pengundi dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia walaupun subur tidak mampu menjamin keputusan yang adil dan sempurna.
Dengan ‘kecacatan’ keputusan pilihanraya tersebut, maka seharusnya kita bersyukur atas kebijaksanaan pemimpin-pemimpin negara terdahulu. Mereka telah berjaya membina dan membentuk sebuah negara Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang terletak di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara untuk melantik seorang Perdana Menteri yang pada hemat Baginda mempunyai sokongan majoriti dari semua ahli Dewan Rakyat. Akhirnya kemelut tersebut terurai apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk memimpin sebuah Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada gabungan parti-parti yang bertanding.
Tertubuhnya Kerajaan Perpaduan telah membuka lembaran baru dan melakar sejarah baru buat Malaysia. Hampir 5 tahun Malaysia bergelumang dengan ketidaktentuan kepimpinan politik. Rakyat terpaksa menghadapi krisis politik saban tahun sehingga merencatkan perkembangan ekonomi negara dan menghakis keyakinan rakyat dan pelabur dengan pentadbiran kerajaan. Justeru, keputusan Tuanku dan seluruh Raja-Raja Melayu memberi perkenan kepada penubuhan sebuah Kerajaan Perpaduan nasional adalah suatu keputusan yang bijaksana yang sewajarnya diterima oleh semua rakyat dengan berlapang dada.
Sebagaimana peringatan Seri Paduka Baginda bahawa tiada pihak yang menang mutlak dan tiada pihak yang kalah ditempelak maka seharusnya teladan dari episod PRU15 ini menginsafkan semua pihak agar kembali bermuhasabah serta meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik nafsu-nafsi. Malaysia memerlukan pemimpin politik yang berjiwa besar yang meletakkan masa depan negara melebihi perbezaan ideologi politik masing-masing. Dengan itu para penyokong parti dan rakyat keseluruhannya akan merasa lega dan dapat menerima dengan rasional tertubuhnya Kerajaan Perpaduan ini.
Ya, pasti di sepanjang tempoh berkempen ada yang terluka. Jangan dibiarkan luka menjadi nanah dan kesumat berpanjangan. Kerajaan Perpaduan mesti berdiri kukuh bagi mendepani cabaran ekonomi. Kewibawaan YAB Perdana Menteri sebagai seorang reformis Islam yang moderat amat ditagih. Ajaran Islam menganjurkan kedamaian. Islam meletakkan ihsan dalam setiap jalinan perhubungan. Adalah menjadi tanggungjawab setiap pemimpin dalam gabungan Kerajaan Perpaduan menghulurkan salam persaudaraaan, memperbaharui niat masing-masing untuk menjadi pemimpin yang adil, tulus dan telus. Pada masa yang sama terus menyantuni rakyat dengan menyelami dan mencari solusi permasalahan kos sara hidup yang semakin menekan.
Tahniah diucapkan kepada seluruh Jemaah Menteri yang telah dilantik menyertai Kabinet YAB Perdana Menteri. Semoga tanggungjawab besar ini dapat digalas dan diterjemahkan dengan sebaiknya. Reformasi ekonomi dan institusi serta pengukuhan perpaduan nasional wajib menjadi agenda utama Kerajaan Perpaduan. Rakyat meletakkan pengharapan dan akan memerhati setiap keputusan kolektif Jemaah Menteri yang menjamin kestabilan negara dan merancakkan semula sektor ekonomi.
Tahniah secara peribadi kepada dua rakan sezaman MCKK kini sudah berjawatan menteri. YB Rafizi Ramli dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad mewakili suara generasi 90-an yang punyai banyak citarasa dan penuh idealisme. Selamat maju jaya berkhidmat untuk negara. Satu peringatan mesra; ‘gemilang’ kan motto MCKK dalam setiap tindakan dan kenyataan YB berdua selepas ini. :)
Begitu juga diucapkan selamat berkhidmat kepada gabungan pembangkang. Jadilah pembangkang yang matang dan bertanggungjawab melaksanakan peranan semak dan imbang. Alhamdullilah dan Tahniah YB Datuk Rushdan Rusmi, ahli DPIM yang turut dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat. Semoga kekal istiqamah membawa perjuangan jihad ekonomi ummah melalui wadah politik nasional di dalam dewan yang mulia.
DPIM sentiasa bersedia mengambil peranan dengan kepakaran pemain industri untuk terlibat menjayakan agenda pengukuhan ekonomi negara. Melalui ekosistem ‘Islamic Digital Economy’ yang bersepadu, pendekatan subsidi bersasar dan bantuan kerajaan boleh diagihkan dan dijejak dengan lebih efektif. Peluang penjanaan pendapatan Gig-economy, secara terus kepada pengguna dan rakyat juga dapat diperkukuhkan dengan penglibatan model ekonomi Islam. Institusi waqaf korporat boleh memainkan peranan sebagai pelaksana ‘social financing’ kepada golongan rakyat B40 yang berniaga.
Dengan kehendak politik yang kuat, pengagihan kekayaan negara akan lebih adil dan menyeluruh kepada seluruh rakyat. Harapan tersebut kini di bahu YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau. KitaBoleh!
* Mohsein Shariff adalah Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.