[KOLUMNIS] Selamat berkempen! Tetapi mampukah BN kekalkan kerusi DUN Mahkota?
Hasimi Muhamad
September 14, 2024 07:00 MYT
September 14, 2024 07:00 MYT
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu mengisytiharkan dua calon bertanding untuk merebut kerusi N.29 Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor.
Ia sekali gus menyaksikan persaingan satu lawan satu antara dua 'parti gergasi' iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Ternyata dalam pertandingan ini ia lebih khusus antara UMNO yang diwakili oleh Syed Hussien Syed Abdullah dengan Mohamad Haizan Jaafar daripada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
PRK kali ini adalah yang ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Daripada jumlah tersebut, tiga adalah di peringkat Parlimen dan tujuh lagi di peringkat DUN.
Daripada 10 PRK ini, Johor sudah menghadapi tiga pilihan raya iaitu melibatkan PRK DUN Simpang Jeram, Parlimen Pulai dan kali ini DUN Mahkota.
Bagi PRK Simpang Jeram dan Pulai - ia berlaku kerana kekosongan luar jangka susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub. Kedua-dua kerusi ini berjaya dikekalkan oleh Pakatan Harapan (PH).
Untuk DUN Mahkota pula, PRK kali ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.
Allahyarhamah yang mewakili UMNO-BN menang kerusi itu pada Mac 2022 dengan majoriti 5,166 undi.
Persoalannya, mampukah BN mengekalkan kerusi ini dalam PRK yang dijadual berlangsung pada 28 September ini?
Pemerhati politik melihat sekurang-kurangnya terdapat empat faktor yang 'dibahaskan' mengenai keupayaan BN untuk mempertahankan kerusi ini.
1. MOMENTUM KEMENANGAN DUN NENGGIRI
DUN Nenggiri yang diadakan pada Ogos lalu berjaya memberikan satu momentum baik kepada BN, khususnya buat UMNO.
Ia antaranya kerana calon yang diletakkan iaitu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani adalah daripada sayap Pemuda UMNO, dan menyaksikan beliau menang di kerusi tersebut.
Kemenangan ini telah menyuntik semangat perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.
Sewaktu persidangan itu, terdapat juga laungan daripada barisan sayap dan Pemuda UMNO yang mahukan calon daripada sayap Pemuda diletakkan di DUN Mahkota.
Malah, nama Syed Hussein antara yang disebut-sebut ketika itu.
Jika dilihat kepada perarakan calon ke Pusat Penamaan Calon pada Sabtu, ribuan yang hadir menunjukkan ‘satu solidariti’ terhadap pemilihan Syed Hussein untuk mewakili BN pada PRK kali ini.
2. ‘PLUS FACTOR’ SYED HUSSEIN
Selain menjadi Pemuda UMNO Bahagian Kluang dan Ketua Penerangan UMNO Johor, calon yang berusia 40 tahun ini dilapor memiliki kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin.
Ini disifatkan sebagai ‘plus factor’ kepadanya kerana daripada jumlah pengundi seramai 66,318 orang, sebanyak 34 peratus mewakili kaum Cina.
Ia dilihat sebagai satu ‘cara mudah’ untuk calon yang mewakli BN ini bertaut dan berkomunikasi dengan komuniti Cina.
Sebagai contoh, sebaik sehaja pencalonan selesai, beliau mula berucap dengan baik dalam bahasa Mandarin ketika memperkenalkan dirinya.
Walaupun calon PN, Mohd Haizan yang berumur 61 tahun juga dilihat memiliki kelebihan tetapi kemahirannya dilihat lebih tertumpu kepada aspek kesukanan khususnya bola sepak.
Namun, siapa yang dapat menduga keupayaan sebenar ‘Coach Haizan’ ini?
3. SOKONGAN PARTI DALAM KERAJAAN PERPADUAN
Walaupun dari sudut latar belakang atau rekod dalam pilihan raya lampau parti komponen Kerajaan Perpaduan seperti DAP dan Amanah, dilihat 'tidak sehaluan' dengan BN.
Namun kali ini, mereka sudah bersepakat untuk membantu calon BN khususnya sokongan daripada parti Amanah.
Dengan adanya kesepakatan ini, maka besar kemungkinan jentera parti akan lebih tersusun dan terancang.
Meskipun perlu diakui bahawa 'lain padang lain belalangnya', namun umumnya Kerajaan Perpaduan pada ketika ini dilihat masih bersungguh-sungguh untuk menunjukkan prestasi yang dapat melegakan hati rakyat.
Beberapa perkembangan terkini menunjukkan bahawa negara sedang menuju ke arah kestabilan politik dan mulai menggorak langkah memacu ekonomi khususnya dalam beberapa sektor yang membantu rakyat bawahan.
4. FAKTOR KESINAMBUNGAN
Prestasi kerja penyandang adalah baik dan dilihat berkesan dalam kepimpinannya. PRK ini sewajarnya dinilai daripada sudut kesinambungan.
Namun perihal mesej kesinambungan perlu disampaikan dengan mesra dan tertib agar peratusan keluar mengundi meningkat pada 28 September ini.
Pada umumnya, bersandarkan kepada empat faktor tersebut, boleh dianggap bahawa BN kemungkinan memiliki peluang cerah untuk mengekalkan kerusi Mahkota.
Tetapi, gelanggang baru dibuka - banyak 'kisah' boleh berlaku kerana semuanya bakal ditentukan oleh para pengundi.
Selamat berkempen!
* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.