[KOLUMNIS] PRK Nenggiri: Petunjuk persepsi atau prestasi?

Yahaya Abdullah
Julai 27, 2024 08:30 MYT
SPR menetapkan hari pengundian DUN Nenggiri pada 17 Ogos, manakala penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos. - Gambar hiasan/BERNAMA
PADA 17 Ogos 2024 akan berlangsung pilihan raya kecil (PRK) yang kesembilan selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kali ini, PRK tersebut melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang terletak bawah Parlimen Gua Musang di Kelantan, iaitu sebuah negeri yang diperintah oleh parti Pas sejak 1990.
Setakat ini, pasca PRU15 menyaksikan sehingga Julai 2024, sejumlah lapan PRK telah diadakan melibatkan tiga Parlimen dan lima DUN.
Daripada jumlah tersebut, enam PRK telah berlalu pada tahun 2023 dan sehingga Julai tahun ini, sudah pun ada dua PRK yang kebetulannya juga di peringkat DUN.
Negeri-negeri yang terlibat dengan PRK ini ialah Pulau Pinang, Selangor, Sarawak, Pahang, Johor serta Terengganu.
Kali ini pada bulan Ogos 2024, ia adalah giliran Kelantan iaitu negeri yang masyhur dengan sejarah pemerintahan Paduka Seri Maharaja Puteri Cik Siti Wan Kembang.
Dua PRK pada 2024 adalah disebabkan kematian penyandang dan ternyata DUN Sungai Bakap dan DUN Kuala Kubu Bharu, parti yang bertanding berjaya mengekalkan kerusi masing-masing.
Namun bagi DUN Nenggiri, wujud kelainan kerana kerusinya kosong berikutan suatu pengisytiharan oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa kerusi tersebut dikosongkan mulai 19 Jun.
Ia selepas notis diterima, yang menyebut penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim hilang keahlian daripada parti yang diwakili iaitu parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Faktor Dalam PRK
Setiap PRK dapat dikesan empat perkara yang diketengahkan dan menjadi bahan kempen dalam tempoh lazimnya tidak melebihi dua minggu.
Pertama, setiap parti yang bertanding akan mengemukakan prestasi mereka dan pihak lawan pula akan membawa hujah yang bertentangan serta membentuk suatu persepsi dalam kalangan pengundi.
Malah sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan, begitu hebat penceritaan terhadap persepsi kerajaan dan parti yang bergabung sehingga ada waktunya menjadi tidak seimbang antara pemahaman prestasi dan persepsi.
Kedua ialah faktor calon dan ia disifatkan penting serta banyak mempengaruhi pengundi.
Namun, bila menilai apa yang berlaku di Kuala Kubu Bharu dan Sungai Bakap, ternyata faktor personaliti menjadi pilihan.
Calon yang dikenali dan pernah bersama pengundi kawasan menjadi pilihan berbanding dengan latar belakang akademik.
Apa pun yang penting ialah calon yang bebas daripada kontroversi dilihat mempunyai peluang cerah untuk menang.
Ketiga, pendekatan tahan dan tawan adalah usaha yang membawa pengundi menilai - mana persepsi dan mana prestasi.
Dengan kemajuan teknologi hari ini, pengundi lebih mudah mendapat informasi dan ia tersebar meluas tanpa tapisan.
Ini sekali gus menjadikan daya pengaruh minda begitu kuat dan mendorong pengundi membuat keputusan.
Ada yang memilih parti dan ada juga yang memilih kerana emosi yang dibentuk oleh persepsi.
Keempat ialah peratusan keluar mengundi dan pada dua PRK yang berlaku pada 2024, ia tidak seperti yang diramalkan walaupun faktor cuaca baik pada hari pengundian.
Angkanya menurun lebih rendah daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) atau PRU.
Ada yang kata bahawa ini sudah menjadi suatu trend, tetapi ini juga ada kaitan dengan persepsi bahawa walau apa keputusannya, ia tidak membawa apa-apa kesan berbanding berbanding dengan PRN atau PRU.
Apakah persepsi begini sihat dan perlu dibiarkan? Itu adalah satu persoalan yang perlu dibahaskan secara berasingan.
Selalunya dikatakan setiap parti yang bertanding pada PRK, ia ada kaitan dengan kerajaan yang memerintah seperti di Selangor di bawah parti Pakatan Harapan (PH) dan sudah pasti dapat mempertahankan Kuala Kubu Bharu.
Tetapi kalau di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri yang memerintah juga adalah PH. Namun, kenapa tidak berjaya menawan kerusi DUN Sungai Bakap?
Soalannya sama juga bagi Kelantan yang ketika ini di bawah pemerintahan Pas. Sama ada berjaya tahan (mengekal kerusi DUN Nenggiri) atau bagaimana?
Kalau dilihat pada lapan PRK yang lalu, ternyata keputusan semua PRK adalah pada pendekatan tahan.
Apakah pada PRK DUN Nenggiri akan ada satu kelainan kepada keputusan? Jika ada, apakah isyaratnya?
Ini akan diketahui setelah penilaian dibuat melalui kehebatan calon, jentera, dan isu oleh 20,259 pengundi yang mana majoritinya adalah Melayu sebanyak 85.9 peratus dan Orang Asli mewakili 13.3 peratus.
Secara umum boleh disebut bahawa Nenggiri adalah DUN di kawasan pedalaman dan geografinya berbeza dengan negeri-negeri di pantai barat.
Menyedari bahawa geografi kawasan DUN Nenggiri ini berbeza dengan budaya dan gaya bicara tersendiri, maka persediaan awal telah dibuat oleh parti yang mahu bertanding.
Setakat ini, Barisan Nasional (BN) Yang mewakili Kerajaan perpaduan mengesahkan mereka untuk menawan DUN tersebut, manakala parti yang bertahan (iaitu Pas) belum membuat pengumuman tentang calon mereka.
BN mempertaruhkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Gua Musang merangkap Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mereka di DUN Nenggiri.
Namun begitu, Pas yakin bahawa mereka mahu mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti yang besar.
Isu ekonomi dan tempatan masih lagi menonjol dan dijangka mendominasi kempen.
Rumusannya, apakah mungkin DUN Nenggiri memberi petunjuk bahawa faktor prestasi atau persepsi yang menjadi dominan?
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian DUN Nenggiri pada 17 Ogos, manakala penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir Jasa (2010-2014) dan kini menjadi pemerhati serta pengulas isu-isu politik serta semasa.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#PRK DUN Nenggiri #pilihan raya kecil #Politik Malaysia #Parlimen Gua Musang
;