[KOLUMNIS] PRK Mahkota: Pertarungan strategi komunikasi dan taktik politik
Kolumnis AWANI
September 26, 2024 11:00 MYT
September 26, 2024 11:00 MYT
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N29 Mahkota bukan sekadar satu lagi pertembungan politik tempatan.
Ia kini menjadi pentas penting untuk menilai sejauh mana keberkesanan strategi komunikasi dan taktik politik yang diterapkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Pertarungan ini bukan sahaja berkisar tentang siapa calon yang lebih layak, tetapi juga mengenai bagaimana kedua-dua parti ini berusaha memenangi hati pengundi dalam situasi politik yang semakin kompleks di Malaysia.
PRK Mahkota menjadi lebih signifikan apabila ia dilihat sebagai ujian kepada kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan, dan ia berfungsi sebagai model untuk strategi kempen mereka di masa hadapan, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Keberkesanan strategi komunikasi dan jentera BN
Dari segi strategi komunikasi dan keupayaan jentera, BN jelas mendahului. Calon mereka, Syed Hussien Syed Abdullah, merupakan seorang pemimpin muda yang berpendidikan, berkarisma, dan yang lebih menarik, fasih berbahasa Mandarin.
Ini seharusnya memberikannya kelebihan besar untuk berkomunikasi secara berkesan dengan pengundi Cina, yang merupakan kira-kira 35 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di Mahkota.
Kelebihan ini tidak hanya menonjolkan keupayaan individu Syed Hussien, tetapi juga menunjukkan kebijaksanaan strategi BN dalam memilih calon yang sesuai dengan demografi dan keperluan kawasan.
Strategi kempen BN yang menggabungkan pendekatan tradisional dan digital memperlihatkan kematangan mereka dalam memahami keperluan berbeza bagi setiap segmen pengundi.
Mereka menggunakan teknik bersemuka secara kecil-kecilan untuk mendekati pengundi yang lebih berusia dan pada masa yang sama, menggunakan media sosial untuk mencapai pengundi muda yang lebih cenderung untuk berinteraksi di platform digital.
Pendekatan hibrid ini sangat berkesan dalam menarik perhatian pengundi yang pelbagai latar belakang, terutamanya dalam situasi politik yang semakin polarisasi di Malaysia.
BN berjaya menyampaikan mesej bahawa mereka adalah pilihan terbaik untuk memastikan kestabilan dan kemajuan di Mahkota, sekali gus memperlihatkan keupayaan mereka untuk beradaptasi dengan perubahan landskap politik.
Kelemahan strategi komunikasi PN dan isu calon
Sebaliknya, PN kelihatan ketinggalan dalam pelbagai aspek.
Calon mereka, Mohamad Haizan Jaafar, yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan, dilihat berdepan kekurangan dalam menunjukkan dirinya sebagai calon yang berwibawa walaupun pada awalnya memperlihatkan biodata yang hebat serta perwatakan yang baik.
Ketika ditemu bual oleh wartawan, beliau seperti tidak boleh menjawab soalan-soalan dasar yang mudah dan malah tidak tahu mengenai istilah ‘Gen Z’, yang merupakan kumpulan pengundi muda yang signifikan dalam PRK ini.
Kekurangan ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan Coach Haizan, tetapi juga menunjukkan betapa tidak bersedianya PN dalam memilih dan mempersiapkan calon mereka.
Lebih mengecewakan, Haizan mencadangkan penyelesaian yang tidak masuk akal bagi masalah banjir di Mahkota, iaitu dengan melebarkan Sungai Melantai.
Cadangan ini tidak praktikal kerana lebar sungai itu tidak dapat diubah disebabkan adanya jalan raya di kedua-dua tebingnya.
Kenyataan sebegini bukan sahaja menunjukkan kelemahan pengetahuan beliau dalam isu tempatan, tetapi juga merendahkan kebolehan pengundi Mahkota untuk menilai cadangan yang rasional dan praktikal.
Ini menunjukkan betapa PN tidak bersedia dari segi komunikasi dasar yang mampu meyakinkan pengundi, dan memberi gambaran bahawa mereka tidak serius dalam menangani isu-isu yang dihadapi oleh penduduk tempatan.
Perbandingan naratif BN dan PN
Kempen BN yang menekankan pencapaian kerajaan negeri Johor di bawah Datuk Onn Hafiz Ghazi adalah strategi yang bijak.
Dengan konsep “Maju Johor”, BN berjaya mengetengahkan hasil-hasil nyata yang telah dicapai di bawah pentadbiran mereka.
Ini termasuk peningkatan dalam infrastruktur negeri, peningkatan ekonomi, dan pelbagai inisiatif kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat Johor.
Melalui kempen ini, BN menunjukkan bahawa mereka mempunyai visi yang jelas dan rancangan yang kukuh untuk masa depan Johor, sesuatu yang tidak kelihatan dalam kempen PN.
Sebaliknya, kempen PN masih terperangkap dalam strategi lama yang tidak menawarkan apa-apa pembaharuan atau dasar yang konkrit.
Mereka terus menggunakan sentimen kebencian terhadap BN dan Kerajaan Perpaduan sebagai modal kempen utama.
PN menekankan bahawa jika pengundi tidak suka kepada BN atau Kerajaan Perpaduan, atau mana-mana pemimpin politik daripada kerajaan, maka mereka harus mengundi PN.
Strategi ini bukan sahaja ketinggalan zaman, tetapi juga tidak memberikan sebarang justifikasi kukuh mengapa pengundi perlu memilih mereka.
Sentimen kebencian semata-mata tidak mencukupi untuk memenangi hati pengundi yang semakin matang dan mengharapkan dasar serta polisi yang lebih baik.
PN perlu bergerak daripada pendekatan kempen ini dan mula menawarkan dasar serta idea-idea baharu yang mampu menarik minat pengundi.
Mereka perlu menjelaskan dengan lebih baik mengapa rakyat perlu memilih mereka selain daripada hanya membenci BN.
Kekurangan untuk melakukan ini hanya akan menyebabkan mereka terus ditolak oleh pengundi yang mencari kestabilan dan kemajuan, bukannya sekadar retorik politik yang kosong.
Isu kenyataan kontroversi dan kesannya terhadap pengundi
Sebelum ini, komuniti Cina sudah pun berdepan dengan ketidakpuasan hati terhadap tindakan Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh, yang menggunakan bahasa kasar dan tidak sensitif terhadap Teresa Kok dalam perbahasan mengenai isu pensijilan halal.
Walaupun isu pokok bukanlah mengenai pensijilan halal itu sendiri, tetapi cara Akmal menyampaikan kenyataannya secara biadab telah menyinggung perasaan masyarakat Cina.
Ini menimbulkan rasa tersisih dan tidak dihormati, sekali gus menjejaskan sentimen pengundi Cina terhadap UMNO dan BN.
Ketika usaha-usaha sedang dijalankan untuk meredakan ketegangan dan mengembalikan keyakinan pengundi Cina, kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mjohamed muncul pada waktu yang sangat tidak sesuai, sekali gus memburukkan lagi keadaan.
Isu kenyataan yang dikeluarkan yang menyifatkan pengundi Cina sebagai ‘opportunistic’ atau oportunis menimbulkan kontroversi dan mencetuskan kemarahan.
Kenyataannya bukan sahaja mengundang reaksi marah daripada masyarakat Cina, tetapi juga merencatkan usaha DAP yang secara rasmi menyokong calon BN di Mahkota.
Pengundi Cina yang sudah pun merasa terpinggir dan kurang selesa dengan UMNO kini semakin kecewa, dan ini mungkin mendorong mereka untuk tidak keluar mengundi sebagai tanda protes.
Situasi ini memberikan cabaran besar kepada BN untuk meyakinkan dan menggerakkan semua penyokong mereka, khususnya pengundi Cina, agar tetap keluar mengundi pada hari pilihan raya dan memberikan sokongan kepada calon BN.
Mereka yang berasa kurang selesa dengan UMNO mungkin akan memilih untuk tidak keluar mengundi sebagai tanda protes.
Ini merupakan cabaran besar bagi BN untuk memastikan semua penyokong mereka, terutamanya pengundi Cina keluar mengundi pada hari pilihan raya.
Tanggapan pengundi: BN bakal menang mudah?
Tanggapan bahawa BN bakal menang mudah dalam PRK Mahkota mungkin menjadi pedang bermata dua.
Di satu pihak, keyakinan terhadap BN dan calon mereka, Syed Hussien, adalah tinggi terutamanya apabila dibandingkan dengan kelemahan yang ditunjukkan oleh calon PN.
Namun, keyakinan ini juga boleh menjadi faktor utama kepada rendahnya kadar keluar mengundi.
Terdapat pengundi yang merasakan bahawa BN sudah cukup kuat untuk menang tanpa sokongan mereka, menyebabkan mereka berasa tidak perlu untuk keluar mengundi.
Sikap sebegini boleh merugikan pengundi sebenarnya.
Walaupun kemenangan mungkin berpihak kepada BN, majoriti yang tipis akan memberikan isyarat yang kurang baik kepada pelabur dan kestabilan politik negara.
Sudah tentu juga, kemenangan dengan majoriti yang tipis ini akan dijadikan modal politik kepada PN untuk terus mendesak dan menyerang Kerajaan Perpaduan yang kononnya akan dikatakan kehilangan kepercayaan rakyat.
BN perlu mengambil langkah lebih proaktif untuk memastikan pengundi mereka keluar mengundi pada 28 September ini.
Kemenangan besar BN di Mahkota akan memberi mesej kepada dunia bahawa politik Malaysia berada dalam keadaan yang stabil dan matang.
Ini akan meningkatkan keyakinan pelabur, yang seterusnya membantu dalam pemulihan ekonomi negara.
Sebaliknya, jika majoriti kemenangan BN tipis, ia akan memberi ruang kepada pihak lawan untuk mempertikaikan keabsahan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.
Hal ini boleh memberi kesan buruk kepada imej kerajaan dan menjejaskan keyakinan pelabur.
Cabaran untuk menggerakkan pengundi keluar
Untuk memastikan kadar keluar mengundi yang tinggi, BN perlu melaksanakan strategi yang menyeluruh dan inklusif untuk menarik minat semua segmen pengundi.
Langkah pertama adalah dengan menggerakkan jentera parti dan sukarelawan untuk mendekati pengundi secara langsung melalui kempen dari rumah ke rumah, mendengar keluhan mereka, dan menyampaikan mesej bahawa setiap undi adalah penting untuk masa depan kawasan Mahkota.
Kempen di media sosial juga perlu diperhebatkan dengan kandungan kreatif yang menarik minat golongan muda, serta menggunakan platform digital seperti WhatsApp untuk menyebarkan maklumat mengenai proses mengundi dan lokasi pusat pengundian.
Di samping itu, BN boleh menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma kepada pengundi yang memerlukan, terutamanya warga emas dan mereka yang tinggal jauh dari pusat mengundi bagi memastikan tiada halangan logistik yang menghalang mereka untuk keluar mengundi.
Kesimpulan
PRK Mahkota bukan sekadar satu pilihan raya kecil, tetapi ia menjadi medan ujian penting bagi Kerajaan Perpaduan dalam mengukur kekuatan kerjasama antara BN dan PH.
Strategi komunikasi yang bijak dan pemilihan calon yang tepat adalah kunci untuk memastikan kemenangan yang bermakna.
Walaupun BN dilihat berada di hadapan dalam aspek ini, mereka tidak boleh memandang ringan cabaran yang dihadapi, terutamanya dalam menggerakkan pengundi untuk keluar menjalankan tanggungjawab mereka.
Setiap undi adalah penting, dan pengundi Mahkota perlu sedar bahawa mereka memegang kunci kepada kestabilan dan masa depan negara.
Kemenangan besar Syed Hussien bukan sahaja akan memastikan kerusi DUN Mahkota kekal di tangan BN, tetapi juga menghantar mesej jelas bahawa Kerajaan Perpaduan adalah pilihan terbaik untuk memimpin Malaysia ke arah yang lebih stabil dan makmur.
Dengan strategi komunikasi yang lebih berkesan dan keupayaan jentera yang kukuh, BN mempunyai peluang besar untuk menang dengan majoriti besar.
Namun, mereka perlu bekerja keras untuk memastikan semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian
* Raziz Rashid merupakan bekas Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri, dan kini Perunding Komunikasi Strategik serta Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Siber Selamat (CyberSafe).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.