[KOLUMNIS] Pertimbangan di sebalik usul tergempar Parlimen, peluang kerajaan yakinkan rakyat
Fakhrurrazi Rashid
Julai 18, 2022 22:44 MYT
Julai 18, 2022 22:44 MYT
SEMALAM, Astro AWANI menjemput saya untuk mengulas persediaan sidang Parlimen yang akan berlangsung bulan Julai. Fokus utama ulasan tertumpu kepada pindaan Perlembagaan dan Rang Undang-undang (RUU) menghalang Ahli Dewan Rakyat tukar parti.
Saya lebih tekankan bagaimana Parlimen kali ini penting untuk kembalikan keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi berparlimen yang kian terjejas pasca 2020. Hal ini turut dipersetujui oleh Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abdul Muis, yang menambah ini peluang ahli politik untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka buat benda yang betul.
Tidak sampai beberapa jam Dewan Rakyat bermula hari ini, sudah berlaku insiden Ahli Parlimen diarahkan keluar oleh Speaker Dewan Rakyat. Ini berlaku selepas Ahli Parlimen Kota Belud tidak berpuas hati kerana usul tergempar berdasarkan Peraturan Mesyuarat 18(1) untuk membahaskan tuntutan waris Sultan Sulu ke atas aset negara ditolak Speaker Dewan Rakyat.
Saya memahami perasaan Ahli Parlimen Belud apabila berkali-kali usul dihantar kemudian ditolak tanpa alasan yang kukuh, lebih-lebih lagi ketika kedaulatan Malaysia dan Sabah sedang dicabar pihak luar.
Untuk Ahli Parlimen membawa usul tergempar ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana; Pertama, hanya satu usul yang dibenarkan untuk dibahas. Banyak mana usul tergempar dibawa Ahli Parlimen di dalam tajuk yang sama, Speaker hanya memilih satu usul sahaja. Kedua, perlu memenuhi kriteria yang agak rigid dan teks ucapan perlu dihantar tidak melebih 200 patah perkataan.
Saya ada pengalaman bagaimana usul tergempar ini boleh dipolitikkan demi kepentingan kerajaan. Sekitar tahun 2016, ketika bertugas sebagai penyelidik kepada salah seorang Ahli Parlimen dari Kuala Lumpur, saya telah menghantar usul tergempar mengenai banjir kilat Kuala Lumpur untuk dijawab Menteri Wilayah Persekutuan.
Pada masa yang sama, seorang Ahli Parlimen dari Selangor telah menghantar usul yang sama untuk membahaskan isu banjir, tetapi fokus kepada banjir di Selangor. Saya mendapat tahu bahawa Speaker Dewan Rakyat ketika itu akan menolak dua-dua usul tergempar tersebut. Tetapi, saya dan pegawai Ahli Parlimen dari Selangor itu telah ke Pejabat Speaker untuk minta pertimbangan dan penjelasan lanjut.
Selepas habis perjumpaan dengan Speaker Dewan Rakyat, beliau memaklumkan bakal membuat keputusan mengenai usul mana yang akan diterima untuk dibahaskan keesokan harinya. Kemudian pada sebelah petang itu, saya dimaklumkan bahawa usul saya hantar ditolak tetapi usul tergempar banjir Selangor akan dijawab Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Saya tertanya-tanya, mengapa usul saya ditolak sedangkan saya telah memenuhi kriteria dimahukan peraturan dan usul tergempar banjir Selangor itu ada kelemahan teknikal yang ketara. Jadi, dengan perasaan kecewa, saya pergi berjumpa saudara Malik Hussein (Pak Malek), Setiausaha Parlimen kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk minta pandangan dalam isu ini.
“Kau nak tahu kenapa usul kau ditolak? Sebab usul kau ni pandai sangat sampai Menteri pun tak mahu nak jawab.” Kata Pak Malek. “Kau kena faham, usul tergempar pasal banjir satu lagi ni (rujuk kepada usul Ahli Parlimen dari Selangor) memang kerajaan nak sebab bolehlah dia hentam kerajaan negeri Selangor kerana cuai uruskan banjir,” tambah Pak Malek lagi. *(Perbualannya bukan bulat-bulat, tapi dialognya macam tu).
Dari situ, baru saya faham bahawa usul tergempar ini juga boleh dijadikan alat untuk menjaga kepentingan kerajaan. Kalau kerajaan yakin untuk memberi jawapan, maka soalan itu akan dijawab. Jika tidak, Speaker Dewan Rakyat boleh sahaja gunakan Peraturan Mesyuarat untuk tolak usul dari kamar. Itu yang kadangkala alasan penolakan diberikan Speaker tidak munasabah sampai usul tergempar 1MDB dan SRC selalunya akan ditolak.
Selalunya, usul tergempar ini dibawa oleh Ahli Parlimen pembangkang. Sebab itu ia sering ditolak oleh Speaker dan jarang sekali Ahli Parlimen kerajaan bawa usul tergempar, kecuali ketika era Pakatan Harapan mentadbir.
Untuk bersikap adil, ada juga Speaker tekankan bahawa Menteri kena jawab usul tergempar. Tetapi, selalunya Speaker akan tewas dengan Menteri. Perkara ini bukan berlaku zaman UMNO-BN sahaja, tetapi zaman PH pun Speaker buat petua yang sama. Contohnya, usul tergempar bagi membincangkan insiden kuil Seafield Sri Maha Mariamman telah ditolak Speaker Dewan Rakyat meskipun ia mendapat sokongan dwipartisan antara Ahli Parlimen kerajaan-pembangkang.
Walaupun ditolak, akhirnya Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membawa usul ke Dewan Rakyat bagi menjelaskan situasi berlaku berdasarkan Peraturan 14(1)(i),yakni penjelasan-penjelasan Menteri. Tetapi, tiada perbahasan dibenarkan.
Pada saya, usul tergempar Kota Belut sepatutnya dibahas dan dijawab Menteri. Perkara yang sama pernah dibahaskan Dewan Negara dua tahun yang lepas berkenaan tuntutan Filipina ke atas Sabah. Jadi, wajar untuk kerajaan pertimbangkan sama ada mahu membawa usul Peraturan 14(1)(i) atau membahaskan usul tergempar ini. (rujuk: https://www.borneotoday.net/dewan-negara-bahas-usul.../amp/)
Suka atau tidak, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri perlu terangkan keadaan semasa kepada Parlimen. Tuntutan sekumpulan rakyat Filipina ini kian menjadi-jadi selepas media melaporkan mereka ingin mengambil seluruh aset Malaysia di serata dunia. (rujuk: https://www.astroawani.com/berita-bisnes/aset-malaysia-seluruh-dunia-terancam-peguam-waris-kesultanan-sulu-371645?amp=1)
Walaupun saya fikir Sulu tidak mampu membuat demikian, tetapi tindakan pasif kerajaan seolah-olah membenarkan hal ini berlaku. Lebih malang, isu tuntutan Sulu ini dipolitikkan sebegitu teruk sehingga ada Ahli Parlimen mengambil kesempatan untuk mendapatkan laba politik. Itu lagi teruk kerana kita terlepas memandang isu sebenar dengan fakta.
Benarkan sahaja usul tergempar itu dibahaskan. Parlimenlah tempatnya, bukan cakap-cakap sekerat dua yang telah timbulkan masalah ini. Bukankah kalau Ismail Sabri jawab, maka rakyat bertambah yakin dengan kerajaan?
*Fakhrurrazi Rashid adalah Koordinator Program Research for Social Advancement (REFSA)
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.