[KOLUMNIS] Pasca PRU15: PN, Pas parti 'ekstremis'?
Azmi Ramli
November 24, 2022 09:00 MYT
November 24, 2022 09:00 MYT
1. BERKEBETULAN dengan perebutan jawatan PM yang masih terbuka, beberapa pihak memberi amaran betapa bahayanya jika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi PM kerana Pas akan menjadi semakin kuat, terutama di dalam Parlimen dengan 49 Ahli Parlimen dari parti itu.
Menuduh Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan Pas dengan pelbagai tuduhan negatif di kala Parlimen belum pun bersidang adalah tidak berasas dan hanya untuk mewujudkan perspeksi buruk terhadap mereka dengan agenda 'membersihkan' Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dari sisi gelap mereka yang terang lagi bersuluh.
Apakah Ahli Parlimen PH dan BN yang jelas dengan rekod kesalahan sivil atau jenayah, atau dakwaan mahkamah itu lebih baik dari Ahli Parlimen PN dan Pas yang dikatakan 'pelampau', tidak cekap, dan sebagainya itu tanpa asas yang nyata?
2. Seterusnya menuduh PN dan Pas dengan golongan konservatif serta 'extremist' agama yang menang dengan bantuan 'tentera TikTok' contohnya adalah satu penghinaan terhadap majoriti pengundi baharu terutama golongan muda yang jelas memberi undi kepada PN dengan majoriti besar di hampir semua kerusi yang dimenangi calon Pas.
Di parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang menang dengan majoriti 41,729 (PRU14 majoriti 21, 954) menewaskan tiga calon lain yang semuanya Melayu.
Di kampung penulis di Parlimen Rantau Panjang, di mana ramai penduduk terlibat banjir dan Datuk Ibrahim Ali turut bertanding, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas) menang dengan majoriti 20,636 (PRU14, menang majoriti 6,150).
Apakah pengundi muda terlalu 'bodoh' dan hanya berpandukan TikTok untuk membuat pilihan di hari mengundi?
Jika pun pengundi baru 'bodoh' kerana percaya kepada tentera TitTok PN di media sosial, apakah itu salah PN dan Pas kerana tentera TikTok PH, atau BN tidak cukup bagus di media sosial?
3. Tuduhan yang agak menghina juga apabila ada yang meragui kerana agak ramai calon baharu muda dan ustaz serta agamawan dari PN, terutama Pas di Parlimen.
Buat mereka yang khuatir, selidik latar belakang calon-calon PN dalam PRU 15. Walaupun baharu dan muda, ada antara mereka lulusan university tempatan dan luar negara, tak kurang juga teknokrat, ahli profesional, doktor dalam pelbagai bidang.
Jangan risau dengan agamawan PN kerana mereka bukan sahaja pakar berbahas tapi akan turut dibantu oleh ahli parti yang terlatih sekian lama.
Jangan lupa Pas telah menyertai PRU sejak tahun 1955 dan cukup bersedia dalam semua perkara!
4. Orang politik berpolitik sepanjang tahun. Kita rakyat biasa tidak perlu mengikut mereka, namun perlu akur dengan pilihan dan 'isyarat' rakyat dalam PRU, walaupun ada yang pahit untuk ditelan.
Selepas tertubuhnya 'Kerajaan Perpaduan' pasca 22 tahun pemerintahan PH, semua parti dan gabungan mempunyai sejarah dan sumbangan kepada negara sebagai kerajaan.
Lihatlah sumbangan setiap gabungan atau parti secara fakta dan holistik tanpa emosi membuta tuli.
Sejak berzaman sejarah adalah antara guru dan panduan yang jujur sebagai rujukan terbaik manusia.
'Kerajaan Perpaduan' antara UMNO, Pas, Bersatu, GPRS, GRS sebelum PRU satu rujukan bersejarah di mana parti-parti yang 'bermusuh' sebelum ini boleh menyumbang secara berkesan kepada rakyat.
Banyak kritikan terhadap kerajaan tersebut, namun kerana ianya pertama kali berlaku setelah lebih 50 tahun negara merdeka usah terlalu keras menghukum.
Dengan keputusan PRU yang jelas memberi pertambahan kerusi untuk Pas, Bersatu dan GPS, mungkin ini satu isyarat rakyat mendokong kerajaan campuran PN dan blok Borneo selepas PRU15!
*Azmi Ramli merupakan penulis buku 'Bersedia Melawan Jin' (2019) dan 'Mudahnya Mengumpul Pahala' (2020) serta peminat setia Astro AWANI.
** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.