[KOLUMNIS] Keikhlasan DAP terserlah melalui PRK DUN Mahkota
Kolumnis AWANI
Oktober 3, 2024 20:35 MYT
Oktober 3, 2024 20:35 MYT
KEPUTUSAN mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota telahpun ketahui dan ia adalah muktamad. Rakyat di DUN Makota telah membuat pilihan mereka.
Mereka telah memberikan mandat kepada Syed Hussien Syed Abdullah dengan majoriti sebanyak 20,648 selepas meraih 27,995 undi berbanding pesaingnya daripada Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan dengan 7,347 undi.
Banyak pihak yang meminta saya mengulas mengenai perkara ini tatkala bermula hari pengumuman calon dan sehinggalah selepas keputusan pengundian pada 28 September, baru-baru ini.
Maka, hari ini saya terpanggil untuk mengulas akan perihal ini memandangkan seolah-olah berlakunya situasi 'Rumah Siap, Pahat Berbunyi'.
Bunyinya semakin kuat pula dalam sehari dua ini. Bunyinya datang bukan daripada rumah di seberang jalan tetapi daripada dalam bilik di rumah sendiri.
Bagi saya, keputusan ini sudah dijangka daripada awal. Tiada yang menarik atau luar biasa pun atas kemenangan ini, melainkan sekadar mengulangi sambutan kemenangan terdahulu.
Ia tidak sebagaimana profil DUN Nenggiri di Kelantan yang baru dimenangi oleh Barisan Nasional (BN). Ini adalah kerana profil DUN Mahkota yang sememangnya adalah DUN milik BN.
Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2022 telah menang dengan penuh bergaya walaupun hanya majoriti 5,166 undi.
Tetapi perlu diingat bahawa kemenangan itu adalah pada masa gelombang kemuncak penolakan yang cukup kuat ke atas sesiapa sahaja yang bertanding atas tiket BN.
Lihat sahaja jumlah undi yang diperolehi oleh calon Pakatan Harapan (Amanah) pada ketika itu iaitu sebanyak 11,445 dan calon daripada PN pula sebanyak 7,614 undi.
Jadi, amat jelas melalui data ini, cukup untuk membuktikan bahawa DUN Mahkota sememangnya DUN tegar milik BN. Ia bukan milik PH dan jauh sekali milik PN.
Namun, saya tetap dirujuk oleh pihak-pihak tertentu yang ingin mendapatkan sentuhan pemikiran mengenai perihal kemenangan oleh BN kali ini, barangkali untuk mereka menghasilkan strategi atau formula politik pada masa akan datang.
Saya tidak berminat untuk mengulas mengenai PN kerana ternyata mereka bukan signifikan pun dalam konteks DUN Mahkota.
PRK Mahkota Ujian Keikhlasan
Jujurnya, saya ingin perkatakan bahawa ujian dalam PRK DUN Mahkota kali ini sebenarnya adalah atas perspektif ketulenan dan keikhlasan rumah Kerajaan Perpaduan yang berusia 23 bulan ini.
PRK DUN Mahkota adalah pentas sebenar ujian bukan terhadap BN, tetapi ujian terhadap tahap ketulenan sokongan DAP, PKR serta Amanah terhadap BN.
Apabila kita bercakap tentang ketulenan dan keikhlasan, parameternya banyak tetapi parameter yang paling mudah dan senang difahami ialah dengan melihat dari segi jumlah undi yang disumbangkan oleh para pengundi.
Dalam pilihan raya di Malaysia ini, jumlah kaum akan menentukan keupayaan kemenangan sesebuah parti. Itu hakikat yang kita tidak boleh sama sekali ditolak kerana profil setiap kawasan Parlimen atau DUN adalah kepelbagaian kaum.
Oleh itu, komposisi kaum memainkan peranan yang penting dan tersendiri dalam mencorakkan kemenangan.
Dalam konteks DUN Mahkota, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 56 peratus adalah pengundi Melayu (36,497), kaum Cina 34 peratus (22,447) dan kaum India adalah lapan peratus(5,086), manakala Sabah dan Sarawak, Orang Asli dan lain-lain adalah (2,288).
Syed Hussien menang dengan meraih sebanyak 27,995 undi.
Jumlah undi yang sebenarnya adalah lebih kecil daripada jumlah undi yang sepatutnya diperolehi dengan penggabungan BN dan PH melalui formula asas Kerajaan Perpaduan jika dipandukan kepada keputusan PRN 2022 iaitu 16,611 (BN) dan 11,445 (PH) iaitu sebanyak 28,056 undi.
Persoalan besar yang bermain kepada banyak pihak terutamanya pemimpin utama politik ialah di mana dan sebesar manakah signifikannya sumbangan PH (DAP, PKR, Amanah) kepada kemenangan BN?
Kenapa saya berkata PH kepada BN dan tidak BN kepada PH kerana sebagaimana yang saya nyatakan daripada awal, DUN Mahkota ialah DUN tegar BN.
Jika PH tidak bantu sekalipun sememangnya BN akan tentu menang di sini.
Jadi dalam hal ini, saya hairan bagaimana seorang Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dengan secara terbuka dan sembrono mengatakan BN umpama 'pesakit kencing manis tenat' diselamatkan oleh PH seperti dilapor sebuah portal berita pada 1 Oktober lalu.
Apakah dia begitu dangkal sekali dari segi memahami realiti politik?
Polemik ini dilihat berterusan apabila Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong telah cuba sedaya upaya menjustifikasi kepada semua akan berjayanya DAP memainkan peranannya dalam menyeru masyarakat Cina mengundi Syed Hussin.
Dengan menggunakan data yang dibekalkan oleh Institut Darul Ehsan (IDE), beliau mengatakan bahawa orang Cina yang keluar mengundi adalah sebanyak 49 peratus.
Dalam hal ini, kenapa Chin Tiong memetik data daripada IDE pun menimbulkan satu pertanyaan? Ini kerana ia bukannya sumber data yang sah. Sumber data yang sah tentunya hanyalah daripada SPR.
Walau apa pun alasannya, Chin Tong tetap tersilap jika beliau menganggap kesemua 49 peratus undi Cina itu datang daripada usaha DAP.
Ia tidak benar sama sekali kerana BN juga mempunyai komponen daripada kaum Cina iaitu MCA yang ternyata lebih Ikhlas dari segi setia kawan.
Menurut Pengerusi Institut Strategik dan Analisis Dasar (INSAP), Datuk Pamela Yong dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada 28 September, terdapat lebih kurang 4,000 ahli MCA di Mahkota.
Melalui ejen GOTV mereka, MCA telah berjaya mengeluarkan hampir 70 peratus daripada jumlah ahli parti itu, jika dikira secara mudah ialah seramai 2,900 orang. Ini adalah satu jumlah yang signifikan yang telah disumbangkan oleh MCA.
Maknanya, undi Cina yang diperolehi oleh Syed Hussin(BN) dalam PRK baru baru ini tidak boleh diberikan kredit hanya semata-mata kepada DAP tetapi juga perlu diberikan kredit kepada MCA.
Malah, saya boleh mengatakan bahawa DAP sebenarnya tetap gagal dalam mengurus dan membawa pengundi Cina yang pasti majoritinya sewaktu PRN 2022 mengundi PH (11,445) untuk keluar mengundi BN sebagaimana yang sepatutnya.
Di manakah kegagalan DAP dalam menguruskan pengundi Cina mereka berbanding dengan rakan Cina BN iaitu MCA?
Pertama ialah dari segi keahlian parti. MCA mengurus pengundi Cina mereka dengan berpaksikan kepada formula keahlian.
Oleh itu, mereka mampu membawa keluar pengundi Cina mereka berasaskan kepada keahlian dan lokaliti dengan sistematik dan teratur.
Sebaliknya, bagi DAP di mana keahlian adalah merupakan perkara sekunder, manakala isu semasa yang popular adalah elemen primer dalam menentukan corak sokongan.
Dalam konteks PRK di Mahkota ini, ternyata elemen ini tidak banyak membantu memotivasikan pengundi Cina DAP untuk keluar mengundi. Syed Hussin daripada BN yang popular di mulut tetapi tidak sepenuhnya di hati.
Kedua, ialah kegagalan DAP dalam mengurus isu sijil halal antara Teresa Kok (DAP) dan Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh dengan berkesan dalam senario PRK .
Sepatutnya sewaktu kempen pilihanraya berlangsung semua pemimpin DAP 'stand down' daripada mengulas atau mengupas isu ini kerana ia boleh menimbulkan rasa lebih marah atau tidak puas hati orang Cina terhadap calon UMNO.
Apabila mereka cuba menonjolkan Teresa sebenarnya adalah betul atau hero, sekali gus meletakkan beban kesalahan kepada Akmal, maka disitulah punca sebenar kepada wujudnya kekecewaan orang Cina terhadap BN.
Ini seterusnya menyebabkan mereka rasa tawar hati atau tidak bermotivasi untuk keluar mengundi pada 28 September, baru baru ini.
DAP gagal membaca dengan tuntas bahawa isu ini akan menjadi 'political blow back' yang besar kepada pengundi Cina. Jadi dalam hal ini, DAP sepatutnya belajar untuk memperbanyakkan 'positive tone' dalam kempen pilihanraya dan bukannya lebih suka bermain dengan elemen kontroversi yang negatif.
Rumusan yang boleh dibuat DAP perlu menghentikan propaganda untuk menjustifikasikan bahawa mereka berkesan dalam membawa keluar pengundi Cina bagi PRK Mahkota ini.
DAP perlu ikhlas menerima kenyataan bahawa mereka sebenarnya masih belum betul-betul mampu meyakinkan rakan serumah yang baharu iaitu BN dalam konteks memberikan kemenangan dengan majoriti yang sepatutnya lebih besar kepada calon BN melalui jumlah keluar mengundi daripada pengundi Cina yang kesemuanya berjumlah 22,447 orang di DUN Mahkota.
DAP perlu belajar bagaimana penggabungan politik yang sebenar boleh menjadi satu perkara yang penting dalam menentukan perubahan lanskap politik negara sebagaimana yang pernah berlaku sewaktu kemenangan BN, Datuk Seri Wee Jack Seng (MCA) pada PRK di Tanjung Piai.
Daripada majoriti PH, 524 undi kepada BN sebanyak 15,086 undi.
Pada masa itu semua parti utama seperti BN dan PAS, bergabung dengan seikhlasnya untuk melawan PH yang terdiri daripada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah yang merupakan kerajaan ketika itu.
PRK DUN Mahkota ini adalah merupakan 'acid test' sebenar kepada kepada tahap keikhlasan, ketulusan serta kejituan politik antara parti-parti besar dalam Kerajaan Perpaduan.
** Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad merupakan bekas Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.
*** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.