[KOLUMNIS] Calonkan Ismail Sabri sebagai 'poster boy' tanda UMNO fokus teruskan agenda rakyat

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
April 15, 2022 11:33 MYT
Pemilihan Ismail Sabri Yaakob sebagai 'poster boy' membuktikan pemimpin atasan UMNO sentiasa membuat sesuatu keputusan dalam semangat kesetiakawanan. - Gambar fail Astro AWANI
SAYA menyambut baik keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO, yang sepakat mencalonkan Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai 'poster boy' Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ini adalah tanda, pemimpin UMNO, amat fokus kepada agenda dalam membela rakyat, meneruskan pengukuhan ekonomi negara dan menunjukkan bukti bahawa pemimpin atasan parti sebenarnya sentiasa membuat sesuatu keputusan dalam semangat kesetiakawanan.
Walau ada yang sentiasa mengambil peluang memporak-perandakan dan mengadu domba agar UMNO dilihat bercakaran, hakikat sebenar, telahpun dibuktikan bahawa kepentingan rakyat lebih diutamakan berbanding perebutan kuasa dalaman parti UMNO.
Saya amat berbangga dengan sikap berjiwa besar Presiden UMNO, Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga Yang Berhormat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Hasan, yang meletakkan kepentingan parti demi kemenangan BN, lebih penting berbanding jawatan.
Sebagai pemimpin muda dalam parti, saya anggap teladan yang mereka tunjukkan, harus saya contohi termasuklah semua pemimpin yang masih memegang jawatan di bahagian masing-masing.
Kita bakal menghadapi PRU15 yang akan menentukan nasib parti dan rakyat.
Jadi, apa jua perselisihan dan juga permasalahan parti, harus kita ketepikan demi kejayaan UMNO dan BN.
Bila ditanya bilakah masa yang paling sesuai untuk diadakan PRU, saya rasakan YAB Perdana Menteri lebih bijak dan tahu bila masa dan waktu pembangkang sedang lemah dan kucar kacir.
Itulah masa yang amat tepat. Mereka hanya bergabung demi kuasa, tapi lepas menang, hanya membalas dendam tanpa mempedulikan nasib rakyat.
Jangan lagi berikan mereka masa dan ruang mengatur strategi dengan menyebar fitnah dan menanam kebencian 'palsu' kepada rakyat untuk merosak UMNO.
Ambillah iktibar PRU 14 yang lalu. Apapun, semangat ukhwah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kini, jelas menunjukkan, kepimpinan UMNO dan jentera-jentera negeri dan bahagian, bersiap sedia bila-bila masa untuk menghadapi PRU 15.
Dengan perubahan drastik yang berani dilakukan oleh kepimpinan atasan dengan memberi ruang kepada calon-calon yang berwibawa, disenangi dan diterima oleh semua lapisan masyarakat, ia petanda jelas, UMNO kini telah banyak berubah dan bukan lagi sebuah parti yang retorik.
Buat rakyat Malaysia, berikanlah mandat dan kemenangan besar kepada BN semula agar negara ini kembali menjadi sebuah negara yang stabil, makmur, diyakini pelabur dan akhirnya rakyat juga yang akan mendapat manfaat melalui kestabilan politik.

* Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin ialah Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Kolumnis AWANI #ismail sabri yaakob #poster boy #UMNO
;