[KOLUMNIS] Analisis prestasi, pengaruh dan persepsi kempen PRK Mahkota

Yahaya Abdullah
September 20, 2024 00:34 MYT
28 September 2024 adalah hari mengundi bagi PRK Mahkota, Johor - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
28 SEPTEMBAR 2024 adalah 'hari penentu' bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor.
Syed Hussein Syed Abdullah menjadi calon Barisan Nasional (BN), sekali gus mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala Mohd Haizan Jaafar yang lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’ pula mewakili Perikatan Nasional (PN).
Seramai 66,318 pengundi berdaftar layak untuk mengundi dengan pecahannya adalah 33,463 pengundi lelaki, manakala 32,685 pengundi wanita, 411 pengundi awal polis dan 4,510 pengundi awal tentera.
Jumlah pengundi baharu ialah 1,244 dan daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar, 81.8 peratus adalah pengundi dalam lingkungan umur 18 sehingga 59 tahun manakala, 18.2 peratus adalah pengundi 60 tahun ke atas.
Taburan pengundi mengikut kaum pula bagi 18 daerah mengundi ialah Melayu (56 peratus); Cina (34 peratus); India (7.8 peratus) dan lain-lain (2.3 peratus).
Dari sudut taburan pengundi mengikut daerah mengundi, 10 pusat mengundi adalah majoriti Melayu seperti Kampung Melayu Timur II, Kampung Melayu I dan Kampung Melayu II.
Manakala tujuh pusat daerah mengundi adalah Cina seperti pusat daerah mengundi Indah Jaya, Taman Kerjasama, Taman Ilham dan Bandar Tengah.
Bagi Taman Suria pula, ia adalah pusat daerah campuran.
Pusat daerah mengundi yang memiliki jumlah pengundi yang tinggi ialah pusat daerah mengundi Dorset dengan 14,400 orang dan pusat daerah mengundi terendah ialah Masjid Lama (1,007).
Penganalisis dan pemerhati politik rata-rata bersetuju bahawa pilihan raya ini adalah isyarat suatu kesinambungan dan kerjasama baik serta kelancaran program yang dibuat oleh penyandang agar tidak terbantut selepas kematiannya.
Barangkali jika prestasi penyandang dilihat tidak memuaskan, mungkin itu boleh menjadi perhitungan. Tetapi setakat laporan, penyandang adalah pemimpin yang berprestasi baik, memiliki pengaruh kepimpinan yang dipuji ramai serta tidak pula kedengaran hal-hal yang negatif mengenai beliau.
Rumusannya, kematian penyandang adalah satu kehilangan kepada pengundi dan penduduk di DUN Mahkota yang dirasai perlu selepas ini ialah ibarat kata ‘patah tumbuh, hilang berganti’.
Dalam PRK ini sudah pasti BN tentunya mahu kerusi Mahkota bukan sahaja kekal di bawah BN, malah lebih daripada itu gabungan berkenaan mahu kemenangan yang besar iaitu memperolehi lebih majoriti berbanding dimenangi oleh penyandang sebelum ini.
Bagi PN, mereka juga mahu kerusi ini dimiliki oleh mereka melalui strategi kempen tawan. Barangkali jika PN gagal, setidaknya gabungan itu berjaya mengurangkan majoriti kemenangan BN.
Ringkasnya, ada yang sebut ‘menang dalam kalah’.
Apa pun percaturan dan simulasi atau jangkaan yang dibuat, tempoh berkempen ini dapat dianalisis melalui beberapa perhatian kepada petunjuk iaitu prestasi, pengaruh dan persepsi.
i. Prestasi
Sebelum ini DUN Mahkota adalah milik BN. Prestasi Parlimen Kluang dan DUN Mengkibol juga bagus. Jadi hal ini adalah suatu kewajaran bahawa hubungan seumpama ini perlu diteruskan demi agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Kluang, khasnya DUN Mahkota.
Calon Sheikh Hussein juga telah menunjukkan prestasi baik dalam parti dan peranannya selaku Ketua Pemuda Kluang. Malah, penglibatan beliau dalam Majlis Perbandaran memberi peluang untuk mengenal pasti selok-belok kemusykilan dan keutamaan serta kehendak rakyat.
Justeru, jika dilihat daripada dua sudut, BN memiliki kelebihan berbanding dengan PN.
ii. Pengaruh
Kedua-dua calon memiliki pengaruh yang sama hebat kerana Coach Haizan juga anak tempatan. Namun, Syed Hussein memiliki kelebihan dengan usianya yang muda dan ini mungkin membolehkan beliau menarik pengundi muda.
Ternyata pengaruh keluarga Syed Hussein ada peranannya kerana pengundi tempatan bukan sahaja mengenalinya tetapi juga mengenali keluarga Syed Hussein.
Selain itu, keistimewaan calon BN ini adalah kerana kefasihan bertutur dalam bahasa Cina dan dilapor berjaya menambat hati pengundi Cina.
Dalam masa sama, sokongan padu daripada jentera dan gabungan parti Kerajaan Perpaduan seperti ada kesinambungan momentum hasil usaha yang dibuat di DUN Nenggiri, Kelantan.
Strategi kempen yang hampir sama digunakan dengan berhemah dan mengambil pendekatan mesra pengundi serta sentuhan kasih dalam komunikasi bersemuka bersama pengundi.
Ini seolah-olah serasi dan selesa dalam kalangan pengundi dan penduduk. Barangkali tingkah berkempen yang mengelak daripada rasa kebencian merupakan pilihan bagi kawasan DUN Mahkota.
iii. Persepsi
Tentunya apabila calon itu adalah daripada BN dan kebetulan daripada UMNO, maka ungkapan seperti ‘UMDAP’ akan disebarkan dan menjadi bahan hebahan daripada pihak lawan.
Namun dengan penjelasan dan huraian yang diberi, hal ini tidak merebak luas. Begitupun, pihak jentera berupaya memberi penjelasan terhadao calon yang dipilih dan memastikan tiada keretakan dalam keutuhan parti.
Pada masa sama diperjelaskan juga oleh pemimpin UMNO bahawa ini bukan pertandingan individu tetapi ia pertandingan antara parti.
Justeru, isu-isu sensitif yang berhubung kait peribadi berjaya dibendung kerana kali ini DUN Mahkota mahu mempamerkan suatu model kempen yang harmoni dan bersandarkan fakta serta tidak terbawa dengan emosi persepsi.
Beberapa keraguan timbul sama ada peratusan keluar mengundi akan menurun akibat daripada reaksi di peringkat Kerajaan Persekutuan. Namun perihal ini memang telah diatur baik oleh jentera parti dalam usaha gerakan GOT (Get Out The Voters).
Rumusannya, dalam PRK kali ini ternyata isu persepsi dibendung dan pengundi lebih fokus kepada siapa yang dianggap calon bercirikan ‘wali’ atau winnability, accessibility dan likeability.
Adakah Syed Hussein atau Coach Haizan? Itu akan diketahui pada 28 September depan.

* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir Jasa (2010-2014) dan kini menjadi pemerhati serta pengulas isu-isu semasa politik.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Barisan Nasional #Kerajaan Perpaduan #PRK Mahkota #Perikatan Nasional
;