Kolaborasi lebih baik untuk menang berbanding kalah secara solo - MB Perak

Amirul Aiman
Ogos 24, 2024 11:00 MYT
Keputusan untuk berkolaborasi tidak mengikat Barisan Nasional dengan mana-mana pihak secara eksklusif, kata Saarani. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan adalah lebih baik berkolaborasi untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya berbanding kalah secara solo.
Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata, keputusan untuk berkolaborasi tidak mengikat BN dengan mana-mana pihak secara eksklusif.
“Dalam pilihan raya, kita perlu mencari peluang untuk menang. Strategi mesti untuk menang.
“Pengajaran yang kita ambil dari 2022, saya tak fikir pergi secara solo itu baik. Kita perlu pergi secara bersefahaman bersama," katanya dalam temu bual bersama media.
Mengenai pembahagian kerusi pula, Saarani berkata, sebarang keputusan perlu dibuat berdasarkan persefahaman dan analisis terhadap sejarah pilihan raya lalu.
Beliau menjelaskan, setiap kerusi perlu dinilai semula berdasarkan potensi dan undi yang diperoleh pada 2022.
“Jika mengambil kira kedudukan dominan BN berdasarkan undi yang diperoleh pada 2022, maka kerusi itu patut diberikan kepada BN. Saya yakin itu boleh dilakukan.
“Daripada kita kalah jadi pembangkang, lebih baik kita menang bersama sebagai kerajaan,” jelas Saarani lagi.
#Barisan Nasional #Saarani Mohamad #menang pilihan raya #kolaborasi Barisan Nasional
;