Klip audio saya jelas disunting - Tun Mahathir
Ridauddin Daud
Mei 20, 2020 18:08 MYT
Mei 20, 2020 18:08 MYT
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan ada pihak berniat jahat dengan menyebarkan klip audionya yang jelas telah disunting.
Semalam, tersebar satu rakaman audio mirip suara bekas Perdana Menteri itu yang antara lainnya ada menyebut ‘beliau’ tidak sukakan DAP dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia dipercayai ia diambil daripada mesyuarat MPT Bersatu yang diadakan pada pukul 11 pagi, 23 Februari lalu.
"Saya cabar mereka keluarkan rakaman penuh mesyuarat MPT (Majlis Perwakilan Tertinggi).
“Ada yang berniat jahat menyebarkan klip audio saya yang jelas disunting. Saya cabar mereka keluarkan rakaman penuh mesyuarat MPT.
“Saya kekal setia bersama rakan-rakan yang berjuang dengan saya sebelum PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14),” tulisnya dalam laman Facebook beliau pada Rabu.
Tegas Ahli Parlimen Langkawi itu, sekiranya betul beliau mahu mengkhianati mandat rakyat, beliau boleh lakukannya ketika dicalonkan sebagai Perdana Menteri Perikatan Nasional.
"Saya tolak. Susah dan senang, kita bersama," katanya.
Menerusi rakaman audio yang tular itu, lelaki berkenaan kedengaran sedang membentangkan semula intipati dan keputusan mesyuarat tersebut.
Antara keputusan itu adalah ahli MPT sebulat suara bersetuju untuk parti tersebut keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 23 Februari.
#Anwar Ibrahim
#cabar
#DAP
#klip audio
#Langkawi
#Mahathir Mohamad
#niat jahat
#Parlimen
#pembangkang
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#rakyat
#sunting