KJ keterlaluan, Hishammuddin tidak serik belakang parti - Puad Zarkashi

Hasimi Muhamad
Januari 28, 2023 12:52 MYT
Selain Khairy, Puad Zarkashi mendakwa tindakan Hishammuddin juga 'luar biasa' kerana didakwa tidak serik membelakangkan parti.
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi mendedahkan sebab UMNO memecat Khairy Jamaluddin daripada parti itu kerana didakwa memburukkan parti dan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau mendakwa perbuatan yang dilakukan Khairy ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) disifatkan sebagai melampau dan amat keterlaluan.
"Kenapa KJ dipecat? Khairy memang melampau. Memburukkan parti dan Presiden semasa kempen PRU amat keterlaluan.
"Fitnah pengundi hantu semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022 berniat jahat," katanya dalam hantaran tersebut pada Sabtu.
BACA: Langkah pembersihan hanya hasilkan lebih banyak kotoran - Annuar Musa
BACA: KJ, Noh dipecat, Hishammuddin, Shahril digantung keahlian UMNO
Selain Khairy, UMNO turut memecat bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Beberapa pemimpin lain pula digantung selama enam tahun antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu lagi, parti perlu berani mengambil langkah sedemikian, sebagaimana mereka yang dipecat itu berani memfitnah parti.
Malah Puad menambah, perkara itu bukan luar biasa kerana parti lain pernah melakukan perkara sama dengan memecat ahli mereka.
"Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga memecat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukriz. PKR pula memecat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tian Chua dan Datuk Zuraida Kamaruddin. Tiada yang luar biasa.
"Luar biasa ialah tindakan KJ menghentam parti dan Presiden semasa kempen PRU. Parti jadi kambing hitam kononnya untuk meraih undi," ujar Puad lagi.
Selain itu, beliau mendakwa tindakan Hishammuddin juga 'luar biasa' kerana didakwa tidak serik membelakangkan parti.
Antara tindakan Hishammuddin itu, dakwa Puad ialah membawa Ahli Parlimen UMNO ke rumah Azmin dan mengarahkan Bahagian Sabah menyertai parti Bersatu.
"Penggerak utama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tanda tangan surat akuan berkanun (SD) sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Hishammuddin," jelasnya.
Puad berkata tindakan UMNO melakukan pemecatan dan penggantungan kepada individu terbabit bukan diputuskan oleh Ahmad Zahid, sebaliknya diputuskan atas syor Lembaga Disiplin UMNO.
Kata Puad lagi, tindakan memecat amat menyakitkan tetapi ia satu keperluan.
"Kalau betul cintakan parti, merayu lah. Kalau tidak mahu merayu, tunggulah enam tahun, kecuali mereka sudah ada pilihan lain. Buatlah pilihan," katanya.
#pembersihan umno #Khairy dipecat UMNO #Hishammuddin digantung #Zahid Hamidi
;