#KitaLawan: 'Apakah Nik Nazmi sudah tidak ada kerja lain?' - Ibdillah
Astro Awani
April 16, 2015 15:42 MYT
April 16, 2015 15:42 MYT
Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dilihat hanya membuang masa dengan mengajak orang ramai untuk menyertai Perhimpunan #KitaLawan pada 1 Mei depan.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ibdillah Ishak berkata, perhimpunan itu sebenarnya sudah gagal kerana tidak mendapat sokongan rakyat seperti Perhimpunan Reformasi pada 1998.
"Secara realistiknya, umum menyedari bahawa Perhimpunan 'Kita Lawan' ini memang tidak sehebat Perhimpunan Reformasi pada tahun 1998 di mana hampir setiap bulan puluhan ribu turun ke jalan raya untuk berdemonstrasi.
"Saya pasti Nik Nazmi yang juga merupakan salah seorang penganjur 'Kita Lawan' sedar akan kegagalannya menghimpunkan puluhan ribu anak muda berdemonstrasi. Saya juga berasa amat teruja apabila melihat perhimpunan ini langsung tidak mendapat sambutan seluruh rakyat Malaysia.
"Mungkin ini sahajalah yang Nik Nazmi mampu menyumbang kepada pembangunan anak muda Malaysia sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Ibdillah mengulas jemputan Nik Nazmi untuk menyertai perhimpunan Kita Lawan pada 1 Mei depan.
Menurut Sekretariat Kita Lawan, Akmal Nasir, mereka akan mengadakan himpunan pada 1 Mei depan bagi menuntut kerajaan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Katanya, perhimpunan di Kuala Lumpur itu mensasarkan seramai satu juta orang untuk menghadirinya.
Dalam pada itu kata Ibdillah, tuduhan Nik Nazmi terhadap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dikatakan tidak menyumbang disifatkan biadab dan memualkan.
"Sebelum mempersoalkan sumbangan Khairy, eloklah Nik Nazmi bermuhasabah diri. Saya fikir, kenyataan mereka khususnya Nik Nazmi seperti seorang yang ketandusan idea.
"Saya ingin menyatakan Pemuda UMNO Malaysia dan Pemuda Barisan Nasional di bawah pimpinan Khairy telah memberi sumbangan yang terlalu banyak kepada anak muda Malaysia.
"Selain BN Youth Job Fair yang memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda, Skim Rumah Pertamaku turut membantu anak-anak muda untuk memiliki rumah dengan mudah.
"Selain itu, Program Perumahan Transit 1 Malaysia di Bukit Jalil juga dilihat satu program yang diilhamkan Pemuda UMNO sendiri," ujarnya.
Tegas Ibdillah, dia hanya mahu berprasangka baik dan melihat demonstrasi yang dianjurkan mungkin mampu menyelesaikan krisis air di Selangor.
"Nik Nazmi terbukti bukan seorang pemimpin yang berwibawa di dalam partinya. Cerminlah diri sendiri dahulu, dan tidak perlu memperlekehkan sumbangan orang lain.
"Susah sangatkah untuk mengakui Perhimpunan 'Kita Lawan' itu gagal? Jika dulu boleh berhimpun hampir ratusan ribu, sekarang ini?
"Barangkali dengan berdemonstrasi boleh menyelesaikan krisis air misalnya di negeri Selangor. Soal hak asasi rakyat iaitu air pun tak mampu selesaikan, apatah lagi isu negara," jelasnya.