'Kita Unite' mahu promosikan kesatuan dalam blok pembangkang - Azis Jamman

Astro Awani
Januari 1, 2021 15:35 MYT
Mohd Azis berkata, sudah sampai masanya ahli-ahli parlimen pembangkang yang muda menunjukkan teladan kesatuan itu.
KUALA LUMPUR: Gerakan 'Kita Unite' yang disertai 11 ahli parlimen pembangkang adalah untuk mempromosikan kesatuan (unity) dalam kalangan pemimpin blok itu.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, kemunculan gerakan itu juga bertujuan untuk menzahirkan contoh terbaik kesatuan kepada pemimpin-pemimpin lama dalam blok tersebut.
Beliau yang juga Ketua Wira Parti Warisan Sabah menjelaskan, sudah sampai masanya ahli-ahli parlimen pembangkang yang muda menunjukkan teladan kesatuan itu.
"Kita mahu mempromosikan unity dalam kalangan pemimpin blok pembangkang. Kita mahu menunjukkan kepada mereka kalau kita bersatu kita boleh menjadi pilihan rakyat menjelang pilihan raya akan datang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Selain mempromosikan kesatuan, gerakan yang disertai ahli parlimen dari DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), Pejuang, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Warisan itu turut mahu mengubah landskap politik perkauman yang bercambah di negara ini.
Kata beliau, politik perkauman dan agama itu perlu diketepikan serta memberi fokus kepada politik kesatuan selain usaha membangunkan negara.
"Itulah yang kita risaukan... anak muda, pemimpin muda di negara kita. Saya rasa sudah sampai masanya untuk kita bersatu dan berhenti membangkitkan tentang kaum dan agama. Semua anasir ini merugikan tetapi ini yang berlaku di negara kita sekarang," katanya.
Mohd Azis turut berkata, gerakan 'Kita Unite' itu juga mahu semua pihak kembali kepada asas pembentukan malaysia yang tiada prejudis mengenai bangsa dan agama.
"Apa yang penting bagi kita ialah kita lihat kembali bagaimana negara Malaysia itu dibentuk yang mana sepatutnya kita bersama-sama bersatu padu.
"Apa yang saya dah rakan-rakan dalam gerakan ini mahu tunjukkan adalah ini merupakan masanya untuk kita bekerja dalam satu pasukan tanpa prejudis kepada bangsa dan agama," katanya.
Semalam, menutup tirai 2020, selain Mohd Azis, 10 lagi ahli parlimen memuat naik status 'Kita Unite' di media sosial mereka antara Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis.
#Kita Unite #Azis Jamman #unity #Kesatuan pembangkang #Warisan #Datuk Mohd Azis Jamman #Ahli Parlimen Pembangkang
;