'Kita tidak kecewa, itu hak GPS' - Shafie Apdal
Assim Hassan
Ogos 18, 2021 18:05 MYT
Ogos 18, 2021 18:05 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak kecewa dengan tindakan pemimpin dari Sabah dan Sarawak terutama Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak menyokong blok pembangkang untuk menerajui kerajaan baharu.
Presiden Parti Warisan itu menjelaskan, keputusan itu adalah hak GPS yang dipimpin Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
"Ini kerana saya berpandangan dengan adanya pemimpin dari Malaysia Timur dalam jawatan tertinggi di peringkat Persekutuan boleh membantu menggubal dasar, mengimbangi pembangunan sekali gus membawa peruntukan pembangunan di negeri-negeri Malaysia Timur.
"Bukan itu sahaja penggubalan dasar termasuk isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat ditingkatkan dan dicapai.
"Cuma apabila kita dari Malaysia Timur menawarkan diri memegang jawatan tertinggi di peringkat Persekutuan tetapi tidak mendapat sokongan daripada kawan-kawan di Borneo. Bayangkan 105 sokongan yang kita ada ditambah dengan 18 (daripada GPS)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Memandang ke hadapan, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna mahu terus berkhidmat kepada negara dan memperjuangkan rakyat.
Tambah beliau, penawaran jawatan tertinggi di peringkat Persekutuan itu bukan demi kepentingan sendiri dan parti sebaliknya demi negara tercinta.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini memberitahu, gabungan itu sebulat suara memberikan satu nama kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai calon Perdana Menteri ke-9.
Bagaimanapun, Abang Johari tidak mendedahkan nama yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.
Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
[INFOGRAFIK] Profil Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Kerjasama kerajaan dan pembangkang? Ini jawapan Shafie Apdal
Tindakan itu diambil Muhyiddin selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional.
Setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan Perdana Menteri, siapa yang akan mengisi jawatan tersebut dan membentuk kerajaan terus menjadi tanda tanya.
Antara nama yang disebut-sebut, Mohd Shafie sebagai calon alternatif dari gabungan pembangkang selain Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohd Shafie dalam program Agenda AWANI yang disiarkan di Astro AWANI (Saluran 501) pada Selasa, mengakui bahawa dirinya dan Anwar dinamakan oleh Pakatan Harapan Plus (PH) sebagai calon Perdana Menteri.
Jelasnya, beliau dan Anwar perlu mendapatkan sokongan yang lebih bagi memastikan dapat membentuk kerajaan yang baharu.
Shafie, Anwar ada 105 sokongan setakat ini
#Mohd Shafie Apdal
#Warisan
#PM 9
#calon perdana menteri
#Abang Johari Tun Openg
#MA63
#Malaysia Timur
#GPS
#Perdana Menteri