Kita tahu ada tawar-menawar ahli Parlimen UMNO lompat parti - Annuar

Bernama
September 20, 2018 21:40 MYT
Dedahnya lagi, terdapat juga yang keluar dari parti itu kerana tertekan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas mereka. - Gambar fail
Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa hari ini mendedahkan banyak tawar-menawar berlaku supaya anggota parlimen UMNO menyertai parti lain.
Beliau berkata terpulang kepada mereka untuk membuat pertimbangan sama ada terus kekal berjuang di dalam parti itu atau meninggalkannya.
"Anggota Parlimen UMNO bebas kalau mereka mahu menyeberang ke mana-mana (parti)... UMNO dan Barisan Nasional merupakan parti tunggal yang tidak membuat surat ikatan dengan wakil rakyat," katanya kepada pemberita selepas taklimat Perhimpunan Agung UMNO di sini, hari ini.
BACA: Tok Pa keluar UMNO: 'This is on you, Mr President' - KJ
BACA: Hishammuddin keluar Umno? Ada lagi yang akan keluar - Bung Mokhtar
BACA: 'Tiada sebab saya keluar UMNO' - Hishammuddin
Annuar juga mendakwa ada juga yang keluar parti kerana mempunyai kepentingan perniagaan dengan kerajaan.
"Ada yang keluar kerana mereka beritahu terus terang, mereka ada kepentingan perniagaan dengan kerajaan dan kepentingan itu terlalu besar, maka mereka memikirkan mereka perlu menyelamatkan kepentingan mereka," katanya.
Dedahnya lagi, terdapat juga yang keluar dari parti itu kerana tertekan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas mereka.
Lima Anggota Parlimen UMNO termasuk Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli) dan Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) umum keluar parti sejak Barisan Nasional tumbang pada pilihan raya umum Mei lepas.
-- BERNAMA
#Anifah Aman #Annuar Musa #Barisan Nasional #kerajaan #Malaysia #Mustapa Mohamed #SPRM #Tan Sri Annuar Musa #UMNO
;