"Kita jumpa di mahkamah", kata Asyraf Wajdi kepada ADUN Rembia

Bernama
Julai 20, 2024 17:00 MYT
Asyraf Wajdi berkata ADUN Rembia itu, telah menandatangani Perjanjian Perwakilan Calon BN sebelum PRN Melaka ke-15 pada 2021. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO hari ini mengemukakan dokumen perjanjian didakwa ditandatangani oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis, berkenaan implikasi bakal dihadapinya sekira menyertai parti politik lain atau bergelar ADUN Bebas.
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata ADUN Rembia itu, telah menandatangani Perjanjian Perwakilan Calon Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Negeri Melaka ke-15 pada 2021, sama seperti semua calon BN lain pada pilihan raya negeri itu.
Beliau berkata perjanjian ditandatangani Muhammad Jailani itu telah dibuat di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selaku saksi, serta telah dimatikan setem di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Selain perjanjian, ada juga akuan bersumpah setiap calon ditandatangani beliau, yang (perkara) 6.1 dinyatakan dengan jelas jika berhasrat menukar parti atau bertukar haluan daripada menyokong BN, UMNO, MIC atau MCA termasuk menjadi ADUN Bebas, berjanji meletak jawatan sebagai ahli dan ADUN supaya satu Pilihan Raya Kecil (PRK) dapat diadakan.
"Manakala (perkara) 6.2 pula menyatakan akan membayar balik kepada BN sejumlah RM100 juta. Inilah kesannya," katanya menerusi video dimuat naik dalam media sosialnya yang turut menyertakan dokumen perjanjian dan akuan bersumpah ditandatangani oleh Muhammad Jailani pada 7 Nov 2021.
Asyraf Wajdi berkata video media sosial itu adalah untuk menjelaskan sebarang kekeliruan, ekoran kenyataan Muhammad Jailani yang mendakwa dirinya tidak terikat dengan sebarang perjanjian, apabila mengisytiharkan dirinya keluar daripada UMNO dan menyertai PAS baru-baru ini.
Selasa lepas, Setiausaha Agung PAS yang juga Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dalam sidang mediannya di Bangunan Parlimen mengesahkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahliannya dalam UMNO, telah menjadi ahli PAS pada 10 Jun tahun lepas.
Asyraf Wajdi berkata bekas Naib Presiden PKR Datuk Zuraida Kamaruddin juga telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membayar RM10 juta kepada PKR, kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.
"Jadi tepuk dada tanya selera. Sudah terhantuk baru hendak tergadah. Kita jumpa di mahkamah," katanya pada akhir video itu.
-- BERNAMA
#Adun Rembia #Muhammad Jailani Khamis #Asyraf Wajdi Dusuki #Tindakan Mahkamah
;