"Kita dalam parti tidak serang Perdana Menteri" - Najib Razak

Abdul Hafiz Mustadi
Julai 2, 2022 16:31 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak senada dengan Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa UMNO tidak sesekali menyerang kerajaan dipimpin Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Gambar Astro AWANI
PENAMPANG: Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak senada dengan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa UMNO tidak sesekali menyerang kerajaan dipimpin Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Pekan itu, UMNO memberikan sepenuhnya sokongan kepada Ismail Sabri menerajui negara.
"Kita (UMNO) tidak menyerang beliau (Ismail Sabri). Mungkin ada beberapa serangan ke atas beliau tetapi bukan dari kalangan UMNO.
"Ismail Sabri sentiasa mendapat sokongan daripada UMNO," katanya dalam sidang media selepas hadir pada Majlis Konvensyen BN Sabah di sini, pada Sabtu.
Dalam masa sama, Najib turut berharap BN Sabah dapat menyumbang kepada kemenangan sekali gus menjadi kubu kuat parti tersebut semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Najib berkata, BN memberi fokus kepada Dasar Pandang Borneo serta usaha membangunkan kedua-dua negeri di Borneo tersebut iaitu Sabah dan Sarawak.
"Pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan, agenda pembangunan dan ekonomi kedua-dua negeri ini perlu diperkasa.
"Sabah sebagai contoh mempunyai produk pelancongan alam semula jadi. Dengan pelan pelancongan yang baik, sudah pasti ia memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada negeri ini serta Sarawak," kata beliau lagi.
#Najib Razak #sokong ismail sabri #Perdana Menteri #tidak serang Perdana Menteri
;