'Kita bukan umum sahaja, tetapi kita sudah laksana' - Madius
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 28, 2020 21:04 MYT
Ogos 28, 2020 21:04 MYT
"Kerajaan yang ada hari ini baru dua tahun. Ada orang mengatakan bahawa kerajaan ini tukang umum. Bukan tukang umum, kita sudah laksanakan."
Demikian kenyataan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan projek pembangunan yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini sebagai tidak wajar kerana ia dibuat atas usaha kerajaan sebelum ini.
"Kita sudah laksanakan tanggungjawab kita sebagai kerajaan negeri.
"Kita struktur semula kemeterian-kementerian dan kita wujudkan portfolio yang memberi lebih pengkhususan kepada sektor pembangunan fizakal dan sumber manusia," kata Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)yang juga mantan Menteri Perdagangan dan Industri Sabah.
Menurutnya, sebahagian besar manfaat daripada pelakasaan tersebut sudah pun dirasai oleh rakyat Sabah.
"Lihat sahaja dalam situasi COVID-19 ini, bayangkan kerajaan negeri sendiri kita bagi RM1 juta pada setiap jabatan kerajaan, polis RM1juta, RELA (Jabatan Sukarelawan Rakyat) RM1 juta, jabatan di bawah Kementerian Kesihatan RM1 juta, Esscom RM1juta, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) RM1 juta.
"Kerajaan negeri bagi duit pada jabatan persekutuan dalam musim COVID-19, bayangkanlah, dan ini telah diselsaraskan sebaik mungkin oleh Kementerian Kesihatan dan Pembangunan Masyarakat Sabah sebab mereka yang urus.
"Jadi, itu yang telah kita buat. itu perubahan, " katanya ketika ditemui baru-baru ini sewaktu membuat tinjauan situasi semasa isu air di daerah ini.
Menurut Madius, perubahan dan pembaharuan yang diterapkan pentadbiran pimpinan Mohd Shafie tidak hanya fokus kepada kebajikan rakyat malah meliputi pengembangan ekonomi negeri bagi manfaat rakyat negeri ini.
"Apa lagi yang mengatakan (kita) umum sahaja, bukan umum sahaja.
"Ini sudah dilaksanakan dengan tindakan yang tidak dibuat kerajaan lepas, antaranya kita telah haramkan pengeksportan kayu balak walaupun kita kehilangan keuntungan kira-kira RM20 juta tetapi niat kita supaya kita dapat membuat pemprosesan hiliran itu.
"Kenapa kita lakukan semua itu?
"Kita wujudkan 'down stream processing' supaya kita boleh wujudkan pekerjaan, wujudkan peluang perniagaan sebab sekarang ini terdapat beribu-ribu rakyat Sabah yang berkerja di Semenanjung kerana kurangnya peluang perkerjaan dan kita telah usahakan satu persatu mengikut sektor," ujarnya.
Jelas beliau, sepanjang penularan COVID-19 ini, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM30 juta untuk bagi bantuan makanan kepada rakyat Sabah di Semenanjung yang telah punca pendapatan.
"Begitu sekali yang kita lakukan, jadi kalau nak dikatakan kerajaan negeri 'umum' sahaja, memang itu satu tohmahan dan fitnah," tegasnya.
Mengulas lanjut soal ekonomi, Madius turut berkongsi kejayaan langsung yang sedang diraih negeri ini melibatkan hasil dagangan antarabangsa.
"Tahun 2018 Sabah dikatakan punya pertumbuhan ekonomi 1.5 peratus.
" Kita terima itu, tapi pertumbuhan ekonomi Sabah ditentukan oleh harga komoditi. Kalau harga petroleum turun maka turunlah, kalau harga sawit turun maka turunlah dan itu pasaran antarabangsa dan bukan kita yang tentukan.
"Tetapi pada tahun yang sama iaitu 2018, dalam sektor pembuatan kita telah berjaya bawa palaburan sebanyak RM200 juta.
"Tahun 2019 lalu, kita dapat bawa masuk RM6.45 bilion, belum pernah begitu tinggi, dan ia hanya memakan masa dua tahun untuk dilaksanakan. Kalau tidak berjaya, tarik balik lesen... tapi sekarang tidak, ini sudah lulus dan semua berjalan lancar.
"Dan paling cantik pada tahun 2020 ini pada suku pertama kita mendapat pelaburan sebanyak RM11.7 bilion, iaitu yang terbesar di Malaysia.
"Seluruh Malaysia peroleh pendapatan RM39 bilion, yang telah diumumkan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini, hakikatnya kita penyumbang tertinggi dan ini telah beroperasi dan ini adalah hasil dari 'floating liquified natural gas' pelaburan dari Petronas," jelasnya lagi.
Selain itu, Madius turut mendedahkan bahawa hasil galian negeri Sabah sebelum ini telah disalurkan ke negeri jiran iaitu Sarawak dan keuntungan tidak diraih kerajaan negeri secara mutlak.
"Kita ini pengeluar gas, kita mempunyai sumber gas yang terbesar di Malaysia jadi kita proses la sekurang-kurangnya boleh jadi LNG (gas asli cecair), tapi dulu ia dipaipkan ke Bintulu dan kita bantah.
"Tetapi bantahan yang diketuai oleh parti UPKO sendiri tidak didengari kerajaan sebelum ini dan baru sekarang kita perolehinya," tambahnya.
#Ahli Parlimen Tuaran
#COVID-19
#Kementerian Kesihatan
#peruntukan
#Sabah
#Semenanjung
#UPKO
#Wilfred Madius Tangau