"Kita buat kerja sehingga PM bubar Parlimen" - Khairy
Shuhada Abdul Kadir
Ogos 18, 2022 16:35 MYT
Ogos 18, 2022 16:35 MYT
REMBAU: Kombinasi antara menteri-menteri kerajaan dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO menjalankan tugas dengan baik serta pemimpin parti dalam membuat persiapan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15(PRU15), dilihat amat penting ketika ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, di samping kesibukan pemimpin tertinggi parti menyusun gerak kerja, menteri-menteri UMNO dalam barisan Kabinet perlu terus fokus melaksanakan tugas bagi memberikan imej baik kepada masyarakat terhadap parti itu.
“Kita faham ada pemimpin yang tidak berada dalam kerajaan macam Presiden, Timbalan Presiden (jadi) mereka memberi tumpuan kepada persiapan jentera dan kami yang ada dalam kerajaan ini kena buat kerja dengan baik.
“Kombinasi ini penting kerana ia akan memberi gambaran dan persepsi yang baik kepada rakyat bahawa menteri UMNO buat kerja dengan baik dan pemimpin UMNO yang tidak berada dalam kerajaan juga buat kerja dengan baik siapkan jentera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rembau di Dewan Perpatih PPD Rembau, di sini, pada Khamis.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan susulan terdapat pemimpin dalam UMNO serta Barisan Nasional (BN) yang mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilaksanakan segera.
Sebagai maklum balas pada permintaan agar PRU15 segera diadakan, Khairy berkata, terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memutuskan bila Parlimen akan dibubar.
“Sebab itu saya tak boleh kata dah dengan pilihan raya atau saya berhenti kerja Kementerian Kesihatan (KKM) kerana KKM antara kementerian terpenting macam Kementerian Pendidikan.
“Saya kena fokus dan saya bagitahu parti saya buat kerja saya dengan baik supaya dapat jaga nama parti juga. Kita buatlah kerja sehinggalah Perdana Menteri bubar Parlimen,”katanya.