Kit Siang perlu jawab isu lucut kelayakan ADUN Pujut - Ibdilillah
Astro Awani
Mei 13, 2017 18:24 MYT
Mei 13, 2017 18:24 MYT
Penasihat DAP, Lim Kit Siang diminta menjawab isu berkaitan penipuan parti itu di dalam pilihan raya lepas melibatkan wakil rakyat DAP Dr Ting Tiong Choon sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Ibdilillah Ishak berkata, Kit Siang turut dipertikai kerana membenarkan Tiong Choon yang mempunyai kerakyatan negara asing untuk bertanding pada pilihan raya yang lepas.
Soalnya, apakah itu sebahagian daripada strategi 'matlamat menghalalkan segala cara' DAP yang dikuasai Kit Siang.
"Saya tidak sedikit pun berasa hairan apabila melihat pemimpin-pemimpin DAP berlumba-lumba mempertahankan ADUN Pujut ini.
"Inilah contoh sikap wakil rakyat DAP yang tidak setia kepada tanah airnya sendiri. Janganlah beretorik mahu 'Selamatkan Malaysia' kalau diri sendiri tidak mampu menumpahkan taat setia sebenar kepada negara.
"Kalau seseorang wakil rakyat itu tidak mampu untuk menumpahkan taat setia kepada negara, apakah jaminan dia akan setia kepada rakyat yang memilihnya menerusi proses pilihan raya?" soalnya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Ibdilillah mengulas isu pemecatan Tiong Choon yang diumum Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar semalam sekali gus dipercayai kes pertama di Malaysia, selepas Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh membentangkan usul untuk melucutkan kelayakan Dr Ting.
Soon Koh membuat usul itu atas dasar wakil rakyat DAP berkenaan mempunyai kerakyatan Australia yang dilepaskannya pada 4 April 2016, tiga minggu sebelum berlangsungnya pilihan raya negeri.
Jelas Ibdilillah, pemecatan itu dalah sangat wajar memandangkan Bekas ADUN Pujut itu turut memegang kewarganegaraan Australia, malah berdaftar sebagai pengundi di sana.
"Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada DUN Sarawak yang telah melucutkan keanggotaan Tiong Choon.
"Jika DAP sebuah parti yang benar-benar menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara, pastinya mereka akan mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap bekas ADUN Pujut tersebut, malangnya sehingga ke saat ini, tiada berita tentang sebarang tindakan terhadapnya.
"Saya percaya rakyat Malaysia rasional dan akan menolak pihak yang menghina dan menderhaka kepada negara pada PRU-14 kelak. Semakin hari, semakin terserlah wajah sebenar DAP," ujarnya lagi.