Kit Siang pentingkan diri bila cadang Guan Eng jadi Ketua Pembangkang- Bung Mokhtar
Wan Syamsul Amly
Februari 23, 2015 14:06 MYT
Februari 23, 2015 14:06 MYT
Penasihat parti DAP, Lim Kit Siang disifatkan bercita-cita tinggi apabila mencadangkan anaknya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai calon Ketua Pembangkang menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, pencalonan sendiri itu membuktikan tuduhan pakatan pembangkang termasuk DAP mengamalkan politik kronisme.
"Selama ini dia tuduh UMNO, mereka hentam UMNO dengan dakwaan memilih saudara-mara dan kali ini dia sendiri cadangkan anaknya menjadi Ketua Pembangkang.
"Saya lihat di kalangan pemimpin pembangkang ada lagi yang lebih baik daripada Guan Eng. Kit Siang harus lihat keadaan keseluruhan pakatan pembangkang dan jangan ingat anak sediri sebagai calon terbaik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bung Mokhtar mengulas kenyataan Kit Siang yang menyifatkan pembangkang tidak pernah kekurangan bakat untuk menggantikan Anwar selepas ketiadaannya yang kini dipenjarakan atas kesalahan liwat.
Kit Siang turut menamakan beberapa pemimpin untuk memikul tanggungjawab itu termasuk Guan Eng.
Bagaimanapun jelas Bung Mokhtar, persoalan siapa bakal menjadi Ketua Pembangkang adalah hak Pakatan Rakyat (PR) selain meminta calon baru nanti bekerja demi kepentingan rakyat.
Dalam pada itu, ketika ditanya peranan DAP sendiri yang cuba menyerlah berbanding PKR dan PAS, ini katanya;
"Itu memang sikap mereka, ia sudah terbukti di Pulau Pinang yang dikuasai DAP, di Selangor dan negeri-negeri lain yang dikuasai PR," jelasnya.
Sebelum ini, PAS dilaporkan mengadakan mesyuarat khas di kalangan anggota parti bagi memutuskan calon yang layak menggantikan Anwar sebagai ketua pembangkang.