Kit Siang harap Warisan, Pejuang dan Muda tandatangan MoU demi rakyat Malaysia

Afiezy Azaman
September 17, 2021 11:18 MYT
Lim Kit Siang menzahirkan harapan agar Parti Warisan, Pejuang dan Muda menyokong dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang menzahirkan harapan agar Parti Warisan, Pejuang dan Muda menyokong dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut pemimpin veteran DAP itu, ini bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.
Katanya, DAP dan Pakatan Harapan (PH) akan melakukan yang terbaik untuk menghormati janji yang termaktub dalam MoU agar wabak COVID-19 tidak berlanjutan dengan meninggalkan kerosakan kehidupan dan mata pencarian rakyat Malaysia.
Ujar beliau, setakat ini lebih 2 juta kes jangkitan COVID-19 dan mengorbankan lebih 22,000 nyawa dalam tempoh 21 bulan lalu di negara ini.
"Semalam, pada Hari Malaysia ke-58, sebanyak 345 kes kematian COVID-19 direkodkan, menjadikan Malaysia sebagai negara ke-5 di dunia dengan jumlah kes kematian akibat Covid-19 tertinggi selepas Amerika Syarikat (1,291), Rusia (794), Brazil (600) dan Iran (453).
"Menurut laman web "Our World in Data", kita adalah negara teratas pada 15 September dengan "kes kematian akibat Covid-19 per sejuta penduduk" tertinggi, bukan hanya di rantau ASEAN, malah turut menewaskan Indonesia, Filipina, Thailand, Myanmar dan Vietnam, kita juga menewaskan negara-negara besar yang lain seperti China, India, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, United Kingdom, Iran, Turki, Brazil dan Mexico.
"Inilah sebabnya mengapa gencatan senjata politik mesti dilaksanakan dalam tempoh 10-18 bulan dari sekarang untuk menyatukan rakyat Malaysia supaya mereka dapat memberikan tumpuan tidak berbelah dalam usaha memenangi perang melawan wabak COVID-19 dan mengatasi kesan yang ditimbulkan oleh wabak ini," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, MoU itu tidak bermaksud tiada lagi blok Pembangkang di Parlimen kerana Ahli Parlimen DAP dan PH akan terus bersuara dan mengangkat agenda keadilan, kebebasan, kemajuan dan perpaduan seperti biasa.
"Pun begitu, rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik, agama, wilayah atau politik, perlu memastikan bahawa MoU CSR yang ditandatangani antara Ismail Sabri dan pemimpin PH memberikan peluang bersejarah untuk menetapkan semula hala tuju negara ini ke arah pemulihan ekonomi dan sosial dalam era pasca-COVID-19 selain menyelamatkan Malaysia," jelasnya.
#Lim Kit Siang #COVID-19 #MoU #ismail sabri yaakob
;