Kisah 'Si Kitol' bukan sindiran, tapi pengajaran untuk semua - Anwar
Shuhada Abdul Kadir
Disember 8, 2019 17:47 MYT
Disember 8, 2019 17:47 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan ucapannya pada perasmian Kongres Nasional Tahunan PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada semalam sengaja 'menyindir' Timbalan Presiden parti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sebaliknya ujar Presiden PKR itu, cerita klasik mengenai 'Si Kitol dan Raja Mendeliar' perlu diambil iktibar oleh semua pimpinan serta anggota PKR.
"Dahulu, ratusan kapal luar negara di pelabuhan Melaka runtuh kerana dua sebab iaitu, kelemahan pemerintahan akibat cemburu hasad dengki dan khianat.
"Tetapi Sultan sudah terlambat, apabila dia tahu pengkhianatan dan fitnah oleh Si Kitol, dia bagi rahsia untuk buka pintu gerbang pertahanan Melaka ini kepada pengkhianat. Ini cerita nya.
"Saya ambil dan ulas fakta sejarah tentang bahaya fitnah pada negara tanpa sebarang niat menyinggung mana-mana pihak. Itu pengajarannya," katanya ketika berucap pada ucapan penggulungan dan penangguhan Kongres Nasional Tahunan PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, memerdekakan rakyat sememangnya teras agenda utama perjuangan parti sejak lebih dua dekad lalu.
"Memerdekakan rakyat sememangnya agenda kita. Namun janganlah negara dan jiwa sebagai reformis merdeka, tetapi perangai tidak menggambarkan sedemikian.
"Itu peringatan saya selalu dalam mesyuarat dan jika tersinggung (teguran) itu biarlah yang boleh membawa perubahan yang baik kepada negara," tambahnya.
Semalam, seramai 22 ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR diketuai Mohamed Azmin keluar daripada sidang Kongres Nasional parti itu bagi membantah sesi perbahasan yang didakwa berat sebelah.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka mendakwa ucapan dasar Anwar dengan sorotan klasik mengenai kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka laluan kepada pembahas lain melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan serta ahli parti.
Mereka menjelaskan, harapan perwakilan dan pemerhati supaya ucapan dasar Presiden memberi fokus kepada dasar serta hala tuju yang inklusif dan progresif ternyata meleset.
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#cerita klasik
#iktibar
#Kongres PKR
#PKR
#Presiden PKR
#Si Kitol dan Raja Mendeliar